BAGAN DATOH 5 Ogos - Pergeseran yang semakin memuncak antara Pas dan
DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud mencerminkan bahawa hubungan
kedua-dua parti itu dalam pakatan pembangkang kini ibarat retak menanti
belah.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata,
kenyataan terbaru Pengerusi DAP, Karpal Singh yang secara terbuka
menolak sepenuhnya rancangan Pas melaksanakan hukum hudud membuktikan
hubungan harmoni Pas-DAP dalam pakatan tersebut hanya satu sandiwara.
Bagi saya, mereka kini seperti retak menanti belah. Kita tahu Karpal
adalah jurucakap DAP dalam soal dasar. Mereka lantang menolak hudud,
malah pernah menganggap Pas terlalu kolot dan terbelakang kerana mahu
melaksanakan hukum hudud.
Pas yang makin hilang identiti tahu mereka perlu mengembalikan
falsafah (hukum hudud) kerana perjuangan negara berkebajikan sebelum ini
sekadar memenuhi kehendak pakatan pembangkang. Tetapi dalam diam, Pas
juga tidak bersetuju dengan DAP.
Mesej dalam kenyataan Karpal itu sangat jelas, justeru tidak usahlah
Pas terus berdolak-dalik mahu mengelirukan rakyat kononnya pelaksanaan
hukum hudud dipersetujui oleh DAP," katanya selepas merasmikan program
Tadarus al-Quran Perdana Peringkat Parlimen Bagan Datoh, di sini hari
ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan lantang Karpal yang disiarkan oleh
Buletin Utama semalam bahawa DAP kekal dengan pendirian tidak akan
sesekali mendokong hasrat Pas untuk mewujudkan negara Islam.
DAP kata Karpal, tidak akan menawarkan diri berunding dengan Pas
mengenai pelaksanaan hukum itu, malah, menegaskan bahawa hudud tidak
akan dimasukkan dalam Buku Jingga iaitu perjanjian dasar bersama pakatan
pembangkang.
Polemik pelaksanaan hukum hudud kembali hangat apabila Ketua Dewan
Pemuda Pas, Nasrudin Hassan berkata kononnya DAP kini memahami dan
menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi segera
dinafikan Karpal.
Ahmad Zahid berkata, perkembangan itu menunjukkan Pas, DAP mahu pun
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebenarnya tidak mempunyai dasar perjuangan
yang sama, sebaliknya, bergabung semata-mata untuk menumbangkan kerajaan
Barisan Nasional (BN).
Kita tahu mereka tidak sekata dalam banyak perkara. Di Perak pun
kita tahu hendak tengok bendera Pas dan DAP dipacak bersebelahan pun
boleh buat penyokong mereka tidak puas hati.
Saya percaya dalam pilihan raya nanti DAP ada manifesto sendiri, Pas
ada manifesto berasingan dan PKR juga begitu. Justeru, Buku Jingga itu
sebenarnya tiada makna apa-apa," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan