Pages

7 Ogos 2012

Bukti kerajaan prihatin

KUALA LUMPUR 5 Ogos - Keputusan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan isu bayaran tunai hasil petroleum kepada negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan merupakan tanda prihatin kerajaan kepada negeri-negeri berkenaan.
Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad berkata, ia sewajarnya dihargai walaupun mengikut undang-undang Kelantan tidak layak mendapat hasil cari gali melebihi tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri berkenaan.
"Pengumuman itu merupakan janji yang ditepati oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan beliau pernah menyatakan akan memberi sebahagian pendapatan hasil cari gali di telaga bumi selatan iaitu satu-satunya telaga gas yang sudah dieksploitasi di luar kawasan tuntutan bertindih paling dekat dengan Kelantan iaitu kira-kira 70 batu nautika," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas penubuhan jawatankuasa itu yang akan mengkaji serta mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, rakyat Kelantan perlu berterima kasih kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh yang berjaya berhujah di meja rundingan dengan fakta yang tepat bersama pakar-pakar perundangan bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Ternyata pendekatan berbincang adalah yang terbaik dan sebarang rundingan tidak sepatutnya dibuat di jalan raya tanpa fakta sebaliknya perlu dilakukan dalam suasana tenang, tenteram serta berhikmah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan