KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ahli Pas di peringkat akar umbi mahu parti itu
keluar segera daripada pakatan pembangkang kerana kebiadaban DAP serta
Pengerusinya, Karpal Singh terhadap Islam merupakan satu perkara yang
tidak boleh diterima dan tidak boleh dimaafkan.
Bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed
Nordin berkata, mereka berpendapat selagi Pas berada dalam pakatan
tersebut, perjuangan Islam yang selama ini menjadi asas perjuangan parti
tersebut akan terus dikekang hebat oleh DAP.
Ujarnya, ia merupakan satu hakikat yang berlaku dan atas sebab itu
golongan ulama di dalam Pas perlu tampil meminta pucuk pimpinan parti
mengkaji semula kerjasama parti tersebut dengan DAP serta Parti Keadilan
Rakyat (PKR).
Rata-rata ahli akar umbi yang saya temui menyifatkan kenyataan
Karpal sebagai kurang ajar dan biadab kerana ia melibatkan kesucian
Islam dan kepentingan umat Islam. Ini bukan soal Pas tetapi soal Islam
dan umat Islam.
Sebab itu ada di antara mereka yang mahu Pas keluar daripada pakatan
pembangkang kerana mereka melihat Pas tidak mampu berbuat apa-apa
selagi terus menjadi anggota pakatan," katanya kepada Utusan Malaysia di
sini hari ini.
Beliau mengulas ketegasan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa partinya
akan menentang habis-habisan sebarang cubaan melaksanakan hukum hudud
jika pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Kontroversi perlaksanaan hukum hudud timbul semula berikutan dakwaan
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hasan kononnya DAP kini memahami
dan menerima pendirian parti itu mengenai negara Islam tetapi ia segera
disanggah Karpal yang menegaskan beliau tidak akan bertolak ansur
mengenai perlaksanaan hukum tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Hafiz mengakui rata-rata ahli kini semakin
keliru dengan hala tuju perjuangan Pas berhubung penubuhan negara Islam
bukan lagi keutamaan kepada parti tersebut.
Pernah ada orang bertanya kepada saya, pilihan raya akan datang mahu
pilih siapa? Ini adalah disebabkan mereka keliru dengan kedudukan Pas
yang semakin diketahui ke mana hala tuju parti ini, ujarnya.
Menjawab satu soalan, beliau tidak menolak kemungkinan kedudukan
Islam akan bertambah teruk sekiranya pakatan pembangkang diberi mandat
untuk memerintah.
Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad pula
berkata, Pas terus dayus dengan kecaman serta penolakan terang-terangan
DAP terhadap Islam.
Beliau berkata, Pas lebih rela menentang keras UMNO walaupun ia
merupakan parti milik orang Islam yang sepatutnya kedua-dua parti
berkenaan boleh menjalinkan kerjasama atas nama Islam.
Hakikatnya beliau berkata, Pas sebenarnya melakukan kerja sia-sia
termasuk menganjurkan himpunan hijau menuju ke Putrajaya kerana pada
akhirnya parti paling dominan dalam pakatan pembangkang adalah DAP yang
jelas biadab menentang Islam.
Begitu juga dengan PKR yang bersekongkol dengan DAP menolak Islam.
Parti ini juga akan menjadi parti dominan. Jelas, motif kerjasama Pas
dengan DAP hanyalah untuk menang kerusi sahaja.
Mengenai isu hudud, apa yang nyata Pas memainkan isu itu kerana
sedar ia boleh menarik undi orang Melayu dan Islam sedangkan jika
diimbau kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ia cukup
menggambarkan bahawa Pas takut kepada tuntutan DAP," katanya.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd. Nor
Hamzah berkata, Karpal merupakan seorang pemimpin yang sudah terlalu tua
dan berfikiran lama.
Malah, beliau berkata, pemikiran Karpal turut dianggap tidak lagi
sesuai dengan perkembangan politik semasa era sekarang sehingga
kewujudannya menjadi satu bebanan kepada pakatan pembangkang.
Mohd. Nor seterusnya mempersoalkan Karpal yang tidak berhak menyentuh
hal-hal berkaitan syarak termasuk pelaksanaan hukum hudud yang
diperjuangkan Pas.
Apa hak beliau mahu sentuh pasal hukum Islam termasuk soal hudud yang kita perjuangkan.
Sebenarnya usia beliau sudah terlalu tua dan pemikirannya lama, tak sesuai lagi dengan suasana politik masa kini.
Jangan banding usia dia dengan usia saya. Saya masih muda dan pemikiran saya sesuai dengan suasana sekarang," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan