KUALA LUMPUR 5 Ogos - Keputusan menubuhkan
Jawatankuasa Khas bagi menyelesaikan isu bayaran tunai hasil petroleum
kepada negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan merupakan tanda prihatin
kerajaan kepada negeri-negeri berkenaan.
Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Sheikh Ahmad Dusuki
Sheikh Mohamad berkata, ia sewajarnya dihargai walaupun mengikut
undang-undang Kelantan tidak layak mendapat hasil cari gali melebihi
tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri berkenaan.
"Pengumuman itu merupakan janji yang ditepati oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan beliau pernah menyatakan akan
memberi sebahagian pendapatan hasil cari gali di telaga bumi selatan
iaitu satu-satunya telaga gas yang sudah dieksploitasi di luar kawasan
tuntutan bertindih paling dekat dengan Kelantan iaitu kira-kira 70 batu
nautika," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mengulas penubuhan jawatankuasa itu yang akan mengkaji serta
mengenal pasti negeri-negeri yang layak menerima bayaran tunai hasil
petroleum di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Menurut Sheikh Ahmad Dusuki, rakyat Kelantan perlu berterima kasih
kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa
Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan
Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohamad Fatmi Che
Salleh yang berjaya berhujah di meja rundingan dengan fakta yang tepat
bersama pakar-pakar perundangan bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Ternyata pendekatan berbincang adalah yang terbaik dan sebarang
rundingan tidak sepatutnya dibuat di jalan raya tanpa fakta sebaliknya
perlu dilakukan dalam suasana tenang, tenteram serta berhikmah,"
katanya.
/hwa: utusan.com.my | 6/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan