HUKUM berubah mengikut keadaan dan waktu semata-mata rentak politik
yang berpusing 360 darjah malahan dakwaan Pas Kelantan bahawa asasnya
adalah haram mengundi golongan yang menentang Islam tetapi dibenarkan
dalam usaha menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum
kelak merupakan politik malang yang dihadapi pemimpin dan pengikut parti
umat Islam - Melayu dewasa ini.
Ketua Dewan Ulama Pas Kelantan, Datuk Mohamad Daud menegaskan bahawa
situasi dalam negara dengan dasar kerajaan Persekutuan yang bercanggah
dengan tuntutan ajaran agama terutama UMNO dan BN menolak perjuangan
Islam terutama hukum hudud, rasuah, salah guna kuasa selain banyak
kemungkaran dan segala macam kepincangan pemerintahan mewajarkan menolak
dengan apa-apa cara terutama melalui undi pilihan raya.
Bekas Ketua Dewan Ulama Pas Pusat itu menambah bahawa pakatan
pembangkang menjadi ejen dan badan pakatan kukuh untuk menjatuhkan
kerajaan BN yang mempunyai banyak komponen yang menolak perjuangan Islam
yang didokong oleh Pas.
Pas hanya badan politik yang kapasiti kecil dan memerlukan sokongan
pakatan pembangkang. Oleh sebab DAP anggota dalam pakatan itu maka
mengundi DAP cara mendapat undi bagi menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN.
Pandangan beliau adalah rentetan fahaman pemimpin tertinggi Pas ,
iaitu Mursyidul Amnya Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden, Datuk Seri
Abdul Hadi Awang yang meminta pengundi tidak gentar mengundi DAP kelak.
Meskipun Karpal Singh, iaitu tokoh tertinggi parti DAP menegaskan
langkah mayatnya dan selagi hayat akan menentang rencana penubuhan dan
pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.
Namun pengasas Pondok Genting Tumpat Abdullah Sa'amah menyeru umat
Islam-Melayu agar tidak mengikut rentak politik malang semata-mata
kemaruk dan mabuk kuasa menuju ke Putrajaya. Beliau menegaskan bahawa
haram dan berdosa untuk masyarakat Islam menyokong DAP yang secara nyata
dan terang lagi bersuluh menentang negara Islam dan pelaksanaan hukum
hudud.
Tambahan parti-parti yang menjalin kerjasama dengan DAP juga berdosa
kerana sokongan atas strategi politik dalam pakatan pembangkang hanya
memberi laluan kepada mereka menguasai negara melalui undi dalam pilihan
raya kelak.
Tuntutan DAP memaksa Pas menukar slogan negara kebajikan menjadi
titik tolak ansur politik malang ketika perjuangan MCA dan MIC dalam BN
berbeza dengan DAP sinonim kafir harbi, yakni membahayakan umat dan
mengundang malapetaka kepada status umat Islam-Melayu.
Ini kerana UMNO tonggak pemerintahan disertai anggota komponen yang
dapat menjalin kerjasama dan tidak bermusuhan dengan falsafah dan ajaran
Islam sebaliknya menerima cara pemerintahan Islam yang sederhana dan
maju.
Kerjasama dan sokongan kepada puak kafir harbi hanya akan memenangkan
mereka yang wajib ditolak terutama ideologi dan falsafah parti mereka
yang tidak menerima Perlembagaan negara, menuntut sama taraf antara
agama serta persamaan kos dan status pusat ibadat.
Harapan Pas bergantung kepada pemimpin UMNO lompat parti menjadi
dominan dalam pakatan pembangkang apabila menang dalam pilihan raya
sebagai mimpi Mat Jenin yang jatuh dari pangkal berpaut lalu terkubur
kerana paksi perjuangan Pas adalah Islam dan hudud.
Tetapi bukan itu agenda pakatan pembangkang malah DAP dan PKR tidak
berminat langsung malah menentang habis-habisan dan tiada dalam Buku Jingga yang menjadi manifesto mereka.
Meskipun sukar Pas menang dan membentuk kerajaan secara persendirian
tanpa gabungan parti lain dalam masyarakat majmuk di negara kita tetapi
kebencian meluat-luat terhadap UMNO kononnya Pas dikhianati UMNO ketika
dalam kerajaan campuran dulu dapat dipersoalkan kerana perangai
kebanyakan para pemimpinnya yang suka mengkritik tajam dan membabi buta
seperti UMNO kafir, jahiliyah, asabiyah, nasionalis dan segala macam
sifat buruk dan tiada keikhlasan dalam kepemimpinan.
Mereka akur UMNO banyak membuat kerja kebajikan dalam pendidikan,
ekonomi, pembangunan prasarana, undang-undang syariat, melahirkan modal
insan dan teknokrat tetapi nafsu amarah menghalang cita-cita murni
segelintir pemimpin untuk bermuzakarah mencari perdamaian sesama umat
sebaliknya berkerjasama dengan parti DAP yang jelas menolak Islam bukan
politik matang dalam konteks Melayu global.
Sebenarnya Pas takut dituduh menjilat ludah sendiri dalam soal
perpaduan kerana kepentingan politik mereka sanggup diperkuda dalam
pakatan pembangkang biarpun terpaksa menukar slogan negara kebajikan dan
menendang keluar parti sesiapa yang ingkar arahan parti termasuk bekas
Pesuruhjaya Pas Selangor , Datuk Dr. Hassan Ali yang dipecat secara
mengaibkan dan di luar tatacara sebuah parti yang kononnya menjaga adab
dan tertib kemasyarakatan.
Inilah realiti politik Pas yang amat malang bagi pengikut membabi
buta sedangkan UMNO dalam konteks Barisan nasional adalah suatu entiti
yang memerintah sejak 1957 tanpa mengabaikan nilai dan kemajuan umat
Melayu Islam.
Ambilan panduan dari peristiwa malang negara Islam seperti Syria,
Mesir, Iraq, Libya, Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Selatan Thailand
dan Filipina, dan lain-lain yang mengalami krisis dalam pentadbiran
negara, perebutan kuasa, perang saudara, kemiskinan, kebuluran,
ditindas, dibunuh dan dirogol malah negara Arab juga terdapat anasir
luar terserap melalui program dan acara ibadat seperti demonstrasi dan
karikatur yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Oleh itu, umat Melayu-Islam perlu bersatu dan kembali mendalami
ajaran Quran dan tafsiran dari hadis dan ulama silam yang tetap menjaga
adab dan tertib kemasyarakatan demi memelihara kemuliaan agama dan
kesejahteraan hidup.
/hwa: utusan.com.my | 22/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan