SEJARAH politik negara telah membuktikan bahawa Pas adalah sebuah
parti yang bersedia berkawan dengan sesiapa sahaja demi mencapai
cita-cita memburu kuasa dengan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional
(BN).
Pada tahun 1990, Pas bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46
(S46) dan kemudiannya menjalin hubungan dengan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) yang ditubuhkan pada tahun 1999 berikutan pemecatan Datuk Seri
Anwar Ibrahim daripada kerajaan dan UMNO.
Pas sememangnya bijak mengambil kesempatan apabila berlaku konflik di
dalam UMNO sehingga ia membolehkan mereka menawan Kelantan pada tahun
1990, Terengganu pada tahun 1999 dan memperkukuhkan kedudukan dalam
Parlimen pada tahun 2008.
Bagaimanapun sebijak-bijak Pas, mereka masih gagal untuk
mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan sendiri berkaitan hukum
hudud dan pembentukan negara Islam.
Kelantangan dan keberanian pemimpin-pemimpin Pas menentang UMNO
sehingga ada ketika mengkafirkan sesama Islam tidak ke mana apabila
mereka berhadapan dengan DAP yang sejak dulu lagi sentiasa konsisten
menentang usaha Pas dalam soal hukum hudud.
Pemimpin-pemimpin Pas seolah-olah kecut perut apabila
pemimpin-pemimpin DAP secara terbuka menyanggah sebarang kenyataan
mereka untuk melaksanakan hukum hudud.
Sikap tidak konsisten Pas dalam memperjuangkan perkara berkenaan
telah memberi keberanian kepada pemimpin-pemimpin DAP untuk memastikan
apa yang diperjuangkan oleh Pas tidak akan tercapai.
Malahan perjuangan politik memburu kekuasaan Pas dengan menjadikan
hukum hudud sebagai modal setiap kali pilihan raya semakin sukar apabila
PKR lebih menyokong DAP berbanding Pas.
Mengulas perkara ini, penganalisis politik, Ahmad Masrizal Mohamad
berkata, persekongkolan politik yang dilakukan dengan kedua-dua parti
itu ternyata telah memakan diri Pas dan ia tidak sebagaimana
persekongkolan dengan S46 dahulu.
Katanya, persekongkolan Pas kali ini betul-betul berpaksikan kepada
politik sekularisasi yakni tagline yang sering dikenakan kepada UMNO
suatu masa dahulu kerana berpakat dengan MCA, MIC dan Gerakan.
Persekongkolan kali ini ternyata memberi kesan yang amat berbeza dan paling ketara ialah terhakisnya maruah Pas.
Pas dibina atas dasar yang berbeza dengan UMNO iaitu menegakkan
sebuah negara Islam, itulah maruah asal Pas, namun barangkali ini adalah
kerana persekongkolan parti tersebut dengan parti yang aman jauh
bezanya hala tuju mereka menyebabkan Pas seolah-olah hilang arah,
katanya ketika dihubungi.
Sememangnya soal maruah Pas sering sahaja diperkatakan apabila
menyentuh sahaja hubungan parti itu dengan PKR dan DAP. Rakyat melihat
bagaimana Pas bukan sahaja menjadi pak turut tetapi juga mangsa buli
dalam pakatan pembangkang.
Didendangkan
Namun begitu, di peringkat akar umbi mereka masih lagi percaya
bahawa Pas tetap akan memperjuangkan Islam dan melaksanakan hukum hudud
kerana itulah qasidah lama yang sering didendangkan oleh pemimpin
mereka menjelang pilihan raya.
Di peringkat akar umbi di dalam Pas, mereka tetap menegaskan akan
terus memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud dan negara Islam biar pun
ditentang oleh DAP.
Dalam hal ini ternyata Pas tampak semakin kehilangan navigasi
politik. Pas dilihat tercari-cari semula status dan maruahnya.
Sekelompok dalam Pas mengatakan mereka akan tetapi berjuang untuk Islam,
sekelompok lagi mengatakan bahawa keutamaan adalah menakluki Putrajaya
mana kala sekelompok lagi hanya berdiam seribu bahasa.
Pas seolah-olah wujud dalam dua versi. Versi pertama, ialah versi
Pas di kampung dan di kawasan majoriti Melayu seperti Kelantan, Kedah
dan Terengganu yakni Pas yang masih lagi bercakap soal menubuhkan negara
Islam, hukum hudud dan membangun bersama Islam, kata Ahmad Masrizal.
Beliau berkata, versi kedua pula Pas lebih selesa bercakap soal-soal
yang bersifat kontemporari dan kesepakatan dengan DAP dan PKR.
Pas versi ini telah membuka mata banyak pihak bahawa Pas
sebenarnya telah mengorbankan ketulenan hala tuju perjuangan parti
mereka demi untuk memastikan Pas diterima melalui persekitaran
politik, katanya.
Tidak kiralah berapa pun versi yang ada dalam Pas tetapi apa yang
pasti sejak berkawan dengan PKR dan DAP, parti itu yang ditubuhkan hasil
cetusan fikiran 200 ulama kira-kira 61 tahun lalu kini penuh dengan
kecelaruan.
Perjuangan hukum hudud dan negara Islam yang selama ini menjadi
modal kepada Pas untuk menarik sokongan orang Melayu menyokong parti itu
semakin pudar dan hanya kedengaran apabila pilihan raya.
Walaupun masih ada pemimpin-pemimpin Pas yang menaruh harapan agar
perjuangan berkenaan diteruskan, soalnya mampu kepimpinan Pas di
peringkat pusat di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang meneruskan agenda tersebut.
Penyokong dan ahli Pas perlu ingat bahawa pemimpin mereka tidak
pernah konsisten dalam hal ini berbanding dengan penentangan secara
konsisten oleh pemimpin-pemimpin DAP. Malahan pemimpin-pemimpin mereka
juga tidak ada keberanian untuk menyanggah penentangan oleh
pemimpin-pemimpin DAP. Sebab itulah perjuangan Islam Pas sejak dulu lagi
tidak begitu berjaya kerana mereka dilihat tidak ikhlas atau
bersungguh-sungguh untuk benar-benar menegakkan perjuangan berkenaan.
Berikutan itu juga ia telah memungkinkan DAP terus keras menentang
sebarang hasrat Pas sehinggakan setiap kali pilihan raya sejak tahun
1990, Pas sentiasa digertak agar melupakan perjuangan penubuhan negara
Islam. Oleh kerana perjuangan Pas lebih berpaksi kepada usaha untuk
menumbangkan BN dan bukannya benar-benar ingin menegakkan perjuangan
Islam maka Pas dilihat beralah kepada PKR dan DAP.
Kesudahan dalam manifesto pembangkang dan terbaru Buku Jingga, soal
penubuhan negara Islam dan hukum hudud bak kata orang sepatah haram
pun tidak boleh disebut dan ini sekali gus memaksa Pas mengubah dasar
perjuangan daripada sebuah negara Islam kepada negara berkebajikan.
Kesudian Pas secara sukarela menggugurkan perjuangan negara Islam
dan menerima Buku Jingga sebagai rujukan dalam memburu cita-cita politik
bersama pembangkang telah menimbulkan keberanian kepada DAP untuk
mengingatkan Pas supaya tidak memandai-mandai dalam apa juga tindakan
mereka.
Ketegasan DAP ini juga seharusnya memberi peringatan kepada orang
Melayu bagaimana besarnya pengaruh parti yang memperjuangkan Malaysian
Malaysia itu ke atas pakatan pembangkang.
Mungkin Pas berbangga kerana mempunyai pemimpin politik bertaraf
ulama yang hebat-hebat tetapi cuba perhatikan apakah mereka ini mampu
menyanggah penentangan oleh pemimpin DAP? Pemimpin-pemimpin Pas hanya
berani menentang UMNO, pemimpin-pemimpin Pas hanya lantang memaki hamun
pemimpin UMNO dan mereka juga begitu hebat menuduh UMNO menolak Islam.
Bagaimanapun mereka tidak mempunyai keupayaan untuk bertegas kepada
pemimpin-pemimpin DAP kerana perjuangan Pas bukannya untuk menegakkan
Islam tetapi semata-mata mahu menumbangkan BN, biar pun maruah parti
diperkotak-katikkan! Tahniah Pas!
/hwa: utusan.com.my | 12/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan