Pages

27 Ogos 2012

Pas hanya pentingkan kuasa

KOTA BHARU 25 Ogos - Tindakan kerajaan Pas Kelantan membenarkan imam dan khatib di negeri ini membaca khutbah Aidilfitri berunsur politik menunjukkan parti itu hanya mementingkan kuasa sehingga sanggup mengetepikan soal perpaduan sesama umat Islam.
Tokoh agama yang juga Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah berpendapat, khutbah tidak sepatutnya dijadikan pentas untuk berkempen politik kerana ia hanya membawa perpecahan kepada umat Islam.
Sebaliknya, tegas beliau, khutbah sepatutnya dijadikan pentas untuk mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan sesama umat Islam, lebih-lebih lagi dalam keadaan mereka berdepan dengan pelbagai tekanan dan cabaran pada masa kini.
"Saya cukup-cukup tidak bersetuju dengan tindakan tersebut (membenarkan imam dan khatib membaca khutbah Aidilfitri berunsur politik). Khutbah sepatutnya mengajak umat Islam kepada kebaikan di dunia dan akhirat.
"Khutbah patut dijadikan pentas untuk menyebarkan ajaran Islam, mengukuhkan perpaduan dan persaudaraan dalam kalangan umat Islam, bukannya menyemai bibit-bibit perpecahan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan yang dikatakan membenarkan imam dan khatib di masjid serta surau di negeri ini membaca khutbah Aidilfitri berunsur politik dan mengajak orang ramai ke arah perpecahan pada 1 Syawal lalu.
Tindakan kerajaan Pas Kelantan itu diselar oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dengan menyatakan ia tidak sepatutnya berlaku kerana teks yang dikeluarkan oleh Dewan Ulama Pas Kelantan itu didakwa menyimpang daripada tujuan asal dan boleh mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Ibrahim, teks khutbah itu berbaur politik yang cukup dahsyat dan boleh memecah-belahkan perpaduan umat Islam di negara ini kerana ia sepatutnya mengajak umat Islam bersatupadu serta menyeru kepada ketakwaan.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, tindakan perlu diambil oleh pihak berwajib bagi memastikan perkara sama tidak berulang demi mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama umat Islam.
Perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam, kata beliau, akan hanya menguntungkan musuh-musuh Islam yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan mereka.
"Pihak berkenaan sepatutnya menegah perkara sebegini," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan