Pages

27 Ogos 2012

Mesti tangani 'pencipta katak'

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digesa menangani terlebih dahulu pakar 'pencipta katak' iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum melaksanakan undang-undang anti lompat parti di negeri itu.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya menjadi individu pertama ditemui Guan Eng berhubung undang-undang tersebut berikutan kecenderungan tinggi Anwar ke arah politik lompat parti sejak dahulu lagi.
Namun, beliau berkata, sehingga kini Setiausaha Agung DAP itu bersama bapanya, Lim Kit Siang terus berdiam diri terhadap Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut, terutama ketika Anwar menjanjikan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat ke parti pembangkang pada 16 September 2008.
"Di manakah tahap konsisten mereka? Saya juga tidak nampak Kit Siang dan Guan Eng membantah tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri Wilfred Bumburing melompat ke pembangkang baru-baru ini. Kenapa bersikap pilih kasih?
"Sebaliknya dua beranak ini berdiam diri dengan segala tindakan Anwar memandangkan dia 'rakan satu kapal' mereka. Pendirian Guan Eng adalah seperti seorang diktator - saya boleh buat apa saja tapi kamu tidak boleh buat apa yang saya buat.
"Lebih baik jumpa dan bincang dengan pencipta katak (Anwar) dahulu memandangkan Guan Eng seorang anti pelompat parti," katanya pada sidang akhbar di Menara PGRM di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan DAP Pulau Pinang untuk membentangkan undang-undang anti lompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri yang akan berlangsung November ini.
Tsu Koon berkata, sekiranya undang-undang itu berjaya diwujudkan di Pulau Pinang, beliau percaya ia tidak akan dapat dilaksanakan sebaik-baiknya oleh kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.
"Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan negeri mencanangkan bahawa mereka menggalakkan kebebasan memperolehi maklumat kepada rakyat melalui Akta Kebebasan Maklumat mereka. Adakah ia dilaksanakan? Tidak.
"Apabila kita memohon melihat maklumat dan pelan kawalan projek-projek lereng bukit negeri, mereka tidak benarkan. Ini bukan kebebasan kepada maklumat langsung.
"Seterusnya, ketika Guan Eng ditanya pemberita beberapa soalan yang tidak dapat dijawab, dia mengancam untuk menyaman pemberita pula. Adakah ini kebebasan kepada maklumat? Adakah ia ketelusan? Jadi, Gerakan ada sebab untuk meragui cadangan undang-undang anti lompat parti ini," ujarnya.
Jelas Tsu Koon, Guan Eng perlu melihat isu melompat parti itu dengan lebih menyeluruh, termasuk mengambil kira faktor individu tersebut melompat parti adakah berdasarkan prinsip peribadinya yang bertentangan dengan parti.
"Jadi, ia perlu dilakukan melalui kaedah kajian kes demi kes yang mana membezakan antara individu yang keluar parti demi prinsip ataupun demi wang ringgit dan kepentingan kedudukan politik.
"Ini kerana Gerakan tidak akan meminta pihak lain menyertai kami dengan menawarkan wang dan jawatan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan