KUALA LUMPUR 25 Ogos - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng
digesa menangani terlebih dahulu pakar 'pencipta katak' iaitu Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum melaksanakan undang-undang
anti lompat parti di negeri itu.
Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, Penasihat Parti
Keadilan Rakyat (PKR) itu sepatutnya menjadi individu pertama ditemui
Guan Eng berhubung undang-undang tersebut berikutan kecenderungan tinggi
Anwar ke arah politik lompat parti sejak dahulu lagi.
Namun, beliau berkata, sehingga kini Setiausaha Agung DAP itu bersama
bapanya, Lim Kit Siang terus berdiam diri terhadap Ahli Parlimen
Permatang Pauh tersebut, terutama ketika Anwar menjanjikan 30 Ahli
Parlimen Barisan Nasional (BN) akan melompat ke parti pembangkang pada
16 September 2008.
"Di manakah tahap konsisten mereka? Saya juga tidak nampak Kit Siang
dan Guan Eng membantah tindakan Datuk Seri Lajim Ukin dan Datuk Seri
Wilfred Bumburing melompat ke pembangkang baru-baru ini. Kenapa bersikap
pilih kasih?
"Sebaliknya dua beranak ini berdiam diri dengan segala tindakan Anwar
memandangkan dia 'rakan satu kapal' mereka. Pendirian Guan Eng adalah
seperti seorang diktator - saya boleh buat apa saja tapi kamu tidak
boleh buat apa yang saya buat.
"Lebih baik jumpa dan bincang dengan pencipta katak (Anwar) dahulu
memandangkan Guan Eng seorang anti pelompat parti," katanya pada sidang
akhbar di Menara PGRM di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan DAP Pulau Pinang untuk membentangkan
undang-undang anti lompat parti pada sidang Dewan Undangan Negeri yang
akan berlangsung November ini.
Tsu Koon berkata, sekiranya undang-undang itu berjaya diwujudkan di
Pulau Pinang, beliau percaya ia tidak akan dapat dilaksanakan
sebaik-baiknya oleh kerajaan negeri pimpinan Guan Eng.
"Sebagai contoh, sebelum ini kerajaan negeri mencanangkan bahawa
mereka menggalakkan kebebasan memperolehi maklumat kepada rakyat melalui
Akta Kebebasan Maklumat mereka. Adakah ia dilaksanakan? Tidak.
"Apabila kita memohon melihat maklumat dan pelan kawalan
projek-projek lereng bukit negeri, mereka tidak benarkan. Ini bukan
kebebasan kepada maklumat langsung.
"Seterusnya, ketika Guan Eng ditanya pemberita beberapa soalan yang
tidak dapat dijawab, dia mengancam untuk menyaman pemberita pula. Adakah
ini kebebasan kepada maklumat? Adakah ia ketelusan? Jadi, Gerakan ada
sebab untuk meragui cadangan undang-undang anti lompat parti ini,"
ujarnya.
Jelas Tsu Koon, Guan Eng perlu melihat isu melompat parti itu dengan
lebih menyeluruh, termasuk mengambil kira faktor individu tersebut
melompat parti adakah berdasarkan prinsip peribadinya yang bertentangan
dengan parti.
"Jadi, ia perlu dilakukan melalui kaedah kajian kes demi kes yang
mana membezakan antara individu yang keluar parti demi prinsip ataupun
demi wang ringgit dan kepentingan kedudukan politik.
"Ini kerana Gerakan tidak akan meminta pihak lain menyertai kami dengan menawarkan wang dan jawatan," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan