KUALA LUMPUR 25 Ogos - Hayat politik bekas Timbalan Presiden Pas,
Nasharudin Mat Isa dengan parti itu mungkin tidak berpanjangan apabila
Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi gambaran bahawa Pas sudah
tidak mengambil peduli lagi mengenai beliau.
Malah Abdul Hadi ketika ditanya mengenai pendirian Pas berhubung
tindak-tanduk Nasharudin berkata, parti itu tidak kisah jika UMNO mahu
menggunakan khidmat Ahli Parlimen Bachok tersebut kerana beliau sudah
ditolak ahli akar umbi.
Beliau juga seolah-olah memberi gambaran Nasharudin kini sudah tidak
penting kepada parti apabila menegaskan, Mesyuarat Lajnah Politik Pas
memberi fokus terhadap perkara lebih besar berbanding isu bekas
timbalannya itu.
Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, kedudukan serta nasib pemimpin itu akan diputuskan Majlis Syura Ulama pada 9 September depan.
"Kalau UMNO nak tokoh yang sudah tidak dipilih lagi oleh ahli Pas
dalam kepimpinan, kita tiada masalah. Kita tidak bincang isu Nasharudin
hari ini kerana beliau bukan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat. Kita serahkan
kepada Majlis Syura Ulama.
"Beliau ahli Majlis Syura Ulama dan terpulang kepada majlis syura
untuk mengambil apa-apa langkah sewajarnya berhubung beberapa perkara
tentang beliau baru-baru ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat
Pas, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali
Masa depan politik Nasharudin goyang apabila golongan 'Anwarinas'
mempersoalkan gambar beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dengan ulama Arab Saudi di Mekah sempena Persidangan Luar
Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), baru-baru ini.
Lebih menambah kemarahan kelompok 'Anwarinas' apabila bekas Timbalan
Presiden Pas tersebut menuntut partinya itu menyatakan pendirian sebenar
berhubung penolakan Karpal Singh terhadap penubuhan negara Islam ala
Pas dan hukum hudud sambil menggesa Pas keluar daripada pakatan
pembangkang.
Dalam pada itu, Abdul Hadi juga seolah-olah menyifatkan Nasharudin
yang lantang bersuara sebagai 'alat UMNO' apabila mendakwa pemimpin Pas
atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengkritik parti tersebut
dipergunakan UMNO.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan