PULAU PINANG 25 Ogos - Pemimpin DAP di peringkat akar umbi tidak
diberikan ruang secukupnya untuk tampil membela diri oleh Lembaga
Disiplin sekiranya mereka dikenakan tindakan akibat mengkritik pemimpin
atasan dan parti tersebut.
Bekas ahlinya, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, perkara itu
bukan rahsia besar lagi dalam DAP sehingga menyebabkan ramai yang mula
angkat kaki daripada perjuangan parti itu yang dilihat semakin tersasar
sejak diberikan kuasa oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 yang
lalu.
"Pemimpin bawahan tidak diberi peluang, malah akan dipecat terus jika
mengkritik parti. Di negeri ini pula, jika ada ahli DAP yang tidak
sehaluan dengan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, maka individu itu tidak
akan mampu bertahan lama dalam parti.
"Bagaimanapun, jika anda mempunyai hubungan yang baik atau lebih
tepat lagi kroni Guan Eng, maka orang itu mempunyai lesen besar untuk
berbuat apa sahaja tanpa dikenakan tindakan disiplin," katanya kepada
Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas penolakan ahli DAP yang semakin ketara terhadap parti
itu terutama bekas -bekas pemimpin akar umbi yang dipecat kerana
menentang penyelewengan yang berlaku dan mengecam corak kepimpinan parti
tersebut.
Terbaru bekas Ketua Audit DAP Cawangan Kampung Aman, Seri Kembangan,
Yap Kon Min serta R. Bellasamy yang pernah memegang jawatan Pengerusi
Pantai Sepang juga mendedahkan mereka pernah menjadi mangsa kuku besi
pentadbiran parti itu.
Sebelum ini, Tunku Abdul Aziz Ibrahim yang juga bekas Naib Presiden
parti itu turut meninggalkan DAP kerana menerima layanan buruk pucuk
pimpinan selepas menyatakan pandangannya yang tidak menyokong
perhimpunan Bersih 3.0.
Mengulas lanjut, Razali berkata, "sejarah" pernah membuktikan bahawa
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang tidak dikenakan tindakan
tatatertib berhubung satu isu sensitif yang ditimbulkannya tahun lalu.
"Guan Eng terlalu kebal dalam DAP sehingga tidak ada sesiapa berani
mengusiknya. Kalau berlaku, maka bersedialah untuk menerima tindakan
selanjutnya.
"Oleh itu, ramai ahli peringkat bawahan malahan pemimpin kanan DAP
peringkat negeri yang tidak berpuas hati terpaksa mendiamkan diri dan
memendam rasa walaupun ada banyak perkara yang mereka tidak bersetuju,"
katanya.
Tegas beliau, dalam konteks di Pulau Pinang pula, sebenarnya terdapat
beberapa pemimpin utama DAP termasuk orang lama yang tidak berpuas hati
dengan corak kepimpinan Guan Eng tetapi hanya mampu memendam rasa dan
menyuarakan di belakang sahaja tanpa membuat bantahan rasmi.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan