Pages

16 Ogos 2012

Pas semakin bacul kerana tunduk kepada Karpal

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak kisah jika Karpal Singh berterusan mengeluarkan kenyataan menolak hukum hudud membuktikan parti yang menggugurkan perjuangan untuk menubuh negara Islam itu bacul.
Pada masa sama, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, keputusan Menteri Besar Kelantan itu bersetuju untuk Karpal sentiasa bising mengenai hudud juga menunjukkan pemimpin veteran Pas tersebut lemah serta ketandusan idea.
Katanya, tindakan Nik Abdul Aziz itu bakal mengundang pemahaman serong orang ramai terhadap hudud kerana Karpal tidak layak bercakap mengenai hukum Islam dan sepatutnya seluruh pemimpin Pas bangkit menentang kebiadapan Pengerusi DAP tersebut.
"Saya pelik bagaimana Nik Abdul Aziz boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian. Beliau seorang Mursyidul Am tetapi bersetuju dengan perbuatan Karpal? Ini bakal menimbulkan kekeliruan kerana Karpal bukan semata-mata bising tetapi menolak hudud," katanya.
"Apa yang orang ramai boleh faham mengenai hudud jika mengambil kira pandangan Karpal yang sanggup mati bagi memastikan hudud tidak dilaksanakan? Sebab itu Nik Abdul Aziz jangan cuba mengelirukan orang ramai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau bersetuju jika Karpal sentiasa 'geger' (bising) mengenai hudud kerana dakwanya melalui tindakan sedemikian orang ramai akan faham.
Dalam pada itu, Ibrahim mendesak Karpal berhenti mengeluarkan kenyataan mengenai hukum hudud kerana ia menyinggung perasaan umat Islam.
Sebaliknya, beliau mencadangkan Pengerusi DAP itu mendalami kelebihan hudud dari sudut perundangan dan demokrasi serta yakin perkara berkenaan boleh dilaksanakan dengan mudah oleh Karpal memandangkan tokoh tersebut seorang pengamal undang-undang.
Katanya, sama seperti perbankan Islam, sistem itu sebelum ini tidak diterima orang bukan Islam namun akhirnya ia terbukti membawa banyak kelebihan.
Sehubungan itu, tambah Ibrahim, beliau percaya hukum hudud juga akan diterima orang bukan Islam, sekali gus dapat dilaksanakan di negara ini.
"Karpal sering bercakap soal demokrasi dan beliau kena sedar negara ini majoriti penduduknya adalah orang Islam.
"Kalau orang Islam mahu kepada hukum hudud, maka beliau perlu hormati kerana sistem demokrasi mendahulukan suara majoriti apatah lagi ini suruhan Allah SWT," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan