KUALA LUMPUR 14 Ogos - Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang tidak kisah jika Karpal Singh berterusan mengeluarkan
kenyataan menolak hukum hudud membuktikan parti yang menggugurkan
perjuangan untuk menubuh negara Islam itu bacul.
Pada masa sama, Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk
Ibrahim Ali berkata, keputusan Menteri Besar Kelantan itu bersetuju
untuk Karpal sentiasa bising mengenai hudud juga menunjukkan pemimpin
veteran Pas tersebut lemah serta ketandusan idea.
Katanya, tindakan Nik Abdul Aziz itu bakal mengundang pemahaman
serong orang ramai terhadap hudud kerana Karpal tidak layak bercakap
mengenai hukum Islam dan sepatutnya seluruh pemimpin Pas bangkit
menentang kebiadapan Pengerusi DAP tersebut.
"Saya pelik bagaimana Nik Abdul Aziz boleh mengeluarkan kenyataan
sedemikian. Beliau seorang Mursyidul Am tetapi bersetuju dengan
perbuatan Karpal? Ini bakal menimbulkan kekeliruan kerana Karpal bukan
semata-mata bising tetapi menolak hudud," katanya.
"Apa yang orang ramai boleh faham mengenai hudud jika mengambil kira
pandangan Karpal yang sanggup mati bagi memastikan hudud tidak
dilaksanakan? Sebab itu Nik Abdul Aziz jangan cuba mengelirukan orang
ramai," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau bersetuju jika
Karpal sentiasa 'geger' (bising) mengenai hudud kerana dakwanya melalui
tindakan sedemikian orang ramai akan faham.
Dalam pada itu, Ibrahim mendesak Karpal berhenti mengeluarkan
kenyataan mengenai hukum hudud kerana ia menyinggung perasaan umat
Islam.
Sebaliknya, beliau mencadangkan Pengerusi DAP itu mendalami kelebihan
hudud dari sudut perundangan dan demokrasi serta yakin perkara
berkenaan boleh dilaksanakan dengan mudah oleh Karpal memandangkan tokoh
tersebut seorang pengamal undang-undang.
Katanya, sama seperti perbankan Islam, sistem itu sebelum ini tidak
diterima orang bukan Islam namun akhirnya ia terbukti membawa banyak
kelebihan.
Sehubungan itu, tambah Ibrahim, beliau percaya hukum hudud juga akan
diterima orang bukan Islam, sekali gus dapat dilaksanakan di negara ini.
"Karpal sering bercakap soal demokrasi dan beliau kena sedar negara ini majoriti penduduknya adalah orang Islam.
"Kalau orang Islam mahu kepada hukum hudud, maka beliau perlu hormati
kerana sistem demokrasi mendahulukan suara majoriti apatah lagi ini
suruhan Allah SWT," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan