KUALA LUMPUR 14 Ogos - Pas perlu menyatakan pendirian sebenar parti
itu berhubung penolakan secara konsisten DAP dan Pengerusinya, Karpal
Singh terhadap cita-cita menubuhkan negara Islam dan pelaksanaan hukum
hudud atau keluar segera daripada pakatan pembangkang.
Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa berkata, perkara itu
wajar diberi perhatian serius pucuk pimpinan Pas ekoran timbulnya
keresahan di kalangan penyokong-penyokong di peringkat akar umbi selepas
DAP dan Karpal berterusan menolak asas perjuangan Pas.
"Sebagai ahli parti, saya minta Pas nyatakan pendirian sebenar mereka
berhubung isu ini. Ahli-ahli di peringkat akar umbi resah apabila
melihat keadaan yang berlaku antara Pas dan DAP.
"Nampaknya DAP dan Karpal secara konsisten menolak penubuhan sebuah
negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Sesuatu perlu dilakukan dan
bagi saya Pas perlu keluar daripada pakatan pembangkang," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu temu bual dengan media di Mekah seperti disiarkan Buletin Utama, TV3 malam ini.
Beliau mengulas kenyataan Karpal baru-baru ini yang menegaskan
pelaksanaan hukum hudud dan penubuhan negara Islam oleh Pas adalah
perkara yang paling tidak dipersetujui parti tersebut.
Menurut Karpal, DAP konsisten berhubung perkara itu dan pendirian
parti tersebut tidak pernah berubah sejak sekian lama malah akan terus
mempertahankannya.
Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah, bantahan
beliau yang mewakili DAP itu berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan
yang tidak membenarkan perkara itu dilaksanakan.
Berikutan penentangan berterusan Karpal itu, beberapa ulama
menegaskan adalah haram dan berdosa umat Islam menyokong parti yang
bersekongkol dengan DAP kerana parti tersebut jelas menolak pelaksanaan
hukum Islam.
Menurut Nasharuddin, penyokong-penyokong Pas ketika ini amat tidak
senang melihat DAP dan Karpal berterusan menolak pelaksanaan hukum Allah
yang selama ini menjadi asas perjuangan parti berkenaan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, selagi Pas berada
dalam pakatan pembangkang usaha menubuhkan negara Islam dan menjalankan
hukum hudud tidak akan terlaksana kerana hasrat itu sentiasa mendapat
tentangan DAP.
"Apa yang dilakukan DAP dan Karpal ini berkaitan dengan penentangan
terhadap pelaksanaan hukum-hukum yang telah ditetapkan Allah SWT,"
ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 15/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan