Pages

27 Ogos 2012

Pemimpin DAP berlagak macam 'maharaja'

IPOH 25 Ogos - Sikap angkuh pemimpin tertinggi DAP yang berlagak seperti 'maharaja' dengan menekan pimpinan bawahan merupakan punca ramai ahli serta pemimpin akar umbi yang kecewa lalu bertindak keluar daripada parti itu.
Bekas Pengerusi Biro Kebajikan Wanita DAP Perak, Datuk Hee Yit Fong berkata, gelombang penolakan ahli terhadap DAP kebelakangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana budaya 'pijak memijak' yang diamalkan pemimpin tertinggi parti itu kini semakin serius.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu yang kini menjadi wakil rakyat Bebas berkata, pemimpin tertinggi DAP bersikap sedemikian kerana mendapat kuasa dengan begitu mudah lalu mahu menyingkirkan golongan yang selama ini mengukuhkan kedudukan parti itu.
"Mereka (pemimpin DAP) dapat kuasa dengan begitu mudah. Golongan ini menjadi terlalu angkuh dan menganggap diri mereka sahaja yang betul. Orang macam Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memecat ahli sesuka hati tanpa alasan yang betul, dia ingat dia selalu betul, dia ingat dia maharaja.
"Ini punca orang kecewa dan keluar parti. Saya tidak terkejut, malah saya percaya lebih ramai ahli dan pemimpin akar umbi DAP akan keluar kerana tidak tahan dengan tekanan dan sikap angkuh pemimpin DAP sendiri," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gelombang penolakan ahli terhadap DAP semakin ketara terutama bekas-bekas pemimpin akar umbi yang dipecat hanya kerana bersuara menentang penyelewengan yang di dalam kepimpinan parti.
Yit Fong berkata, sehingga hari ini, beliau tidak dapat menerima tindakan Guan Eng memecatnya daripada parti pada tahun 2009 selepas dituduh tidak berada di kawasan.
"Pada tahun 2004, DAP kurang dapat kerusi jadi mereka hargai ahli macam saya yang memberi kemenangan kepada parti. Tetapi pada tahun 2008 apabila DAP dapat banyak kerusi, mereka mula pinggirkan saya.
"Pada masa itu, dia (Guan Eng) keluar televisyen dan tuduh saya macam-macam sedangkan saya berada di Jelapang hadiri majlis bersama penduduk. Kalau betul pun saya tiada di kawasan, isteri beliau yang jadi ADUN di Melaka pun tiada di kawasan pada masa itu, kenapa tidak pecat?" katanya.
Yit Fong turut mempersoalkan kenapa pemimpin DAP selalu mahu menggambarkan mereka telus tetapi tidak menjelaskan pelbagai skandal melibatkan kepimpinan pakatan pembangkang di negeri yang dikuasai.
"Skandal banglo Ketua Menteri di Pulau Pinang, skandal syarikat Talam Corporation Bhd. di Selangor, DAP berdiam diri dan tidak menjawab. Sama juga seperti isu isteri seorang pemimpin DAP Perak, yang dapat kontrak kerajaan negeri juga disenyapkan tanpa penjelasan.
"Inikah ketelusan? Kalau dibandingkan kes bekas Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau letak jawatan walaupun terpalit dengan dakwaan skandal melibatkan suami. Beliau letak jawatan demi parti, kenapa beliau tidak lakukan perkara sama?," katanya.
Malah, Yit Fong mendakwa, kesemua isu berkenaan mula menjadi buah mulut ahli DAP sendiri yang berasa tertipu di sebalik imej bersih yang ditonjolkan pemimpin parti itu.
"Inilah yang saya selalu kata, orang ramai tidak tahu apa sebenarnya wajah dalam DAP. Sejarah dan jasa orang lama mereka mahu padam. Mereka mahu dikenang sebagai hero.
"Ramai pemimpin DAP di cawangan yang mengadu pada saya, saya boleh cakap ramai sangat yang mengadu. Malah, ada ketua-ketua cawangan DAP nak minta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun takut hingga minta bantuan dengan saya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan