IPOH 25 Ogos - Sikap angkuh pemimpin tertinggi DAP yang berlagak
seperti 'maharaja' dengan menekan pimpinan bawahan merupakan punca ramai
ahli serta pemimpin akar umbi yang kecewa lalu bertindak keluar
daripada parti itu.
Bekas Pengerusi Biro Kebajikan Wanita DAP Perak, Datuk Hee Yit Fong
berkata, gelombang penolakan ahli terhadap DAP kebelakangan ini bukan
sesuatu yang mengejutkan kerana budaya 'pijak memijak' yang diamalkan
pemimpin tertinggi parti itu kini semakin serius.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang itu yang kini menjadi
wakil rakyat Bebas berkata, pemimpin tertinggi DAP bersikap sedemikian
kerana mendapat kuasa dengan begitu mudah lalu mahu menyingkirkan
golongan yang selama ini mengukuhkan kedudukan parti itu.
"Mereka (pemimpin DAP) dapat kuasa dengan begitu mudah. Golongan ini
menjadi terlalu angkuh dan menganggap diri mereka sahaja yang betul.
Orang macam Setiausaha DAP, Lim Guan Eng memecat ahli sesuka hati tanpa
alasan yang betul, dia ingat dia selalu betul, dia ingat dia maharaja.
"Ini punca orang kecewa dan keluar parti. Saya tidak terkejut, malah
saya percaya lebih ramai ahli dan pemimpin akar umbi DAP akan keluar
kerana tidak tahan dengan tekanan dan sikap angkuh pemimpin DAP
sendiri," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas gelombang penolakan ahli terhadap DAP semakin ketara
terutama bekas-bekas pemimpin akar umbi yang dipecat hanya kerana
bersuara menentang penyelewengan yang di dalam kepimpinan parti.
Yit Fong berkata, sehingga hari ini, beliau tidak dapat menerima
tindakan Guan Eng memecatnya daripada parti pada tahun 2009 selepas
dituduh tidak berada di kawasan.
"Pada tahun 2004, DAP kurang dapat kerusi jadi mereka hargai ahli
macam saya yang memberi kemenangan kepada parti. Tetapi pada tahun 2008
apabila DAP dapat banyak kerusi, mereka mula pinggirkan saya.
"Pada masa itu, dia (Guan Eng) keluar televisyen dan tuduh saya
macam-macam sedangkan saya berada di Jelapang hadiri majlis bersama
penduduk. Kalau betul pun saya tiada di kawasan, isteri beliau yang jadi
ADUN di Melaka pun tiada di kawasan pada masa itu, kenapa tidak pecat?"
katanya.
Yit Fong turut mempersoalkan kenapa pemimpin DAP selalu mahu
menggambarkan mereka telus tetapi tidak menjelaskan pelbagai skandal
melibatkan kepimpinan pakatan pembangkang di negeri yang dikuasai.
"Skandal banglo Ketua Menteri di Pulau Pinang, skandal syarikat Talam
Corporation Bhd. di Selangor, DAP berdiam diri dan tidak menjawab. Sama
juga seperti isu isteri seorang pemimpin DAP Perak, yang dapat kontrak
kerajaan negeri juga disenyapkan tanpa penjelasan.
"Inikah ketelusan? Kalau dibandingkan kes bekas Menteri Pembangunan
Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, beliau letak
jawatan walaupun terpalit dengan dakwaan skandal melibatkan suami.
Beliau letak jawatan demi parti, kenapa beliau tidak lakukan perkara
sama?," katanya.
Malah, Yit Fong mendakwa, kesemua isu berkenaan mula menjadi buah
mulut ahli DAP sendiri yang berasa tertipu di sebalik imej bersih yang
ditonjolkan pemimpin parti itu.
"Inilah yang saya selalu kata, orang ramai tidak tahu apa sebenarnya
wajah dalam DAP. Sejarah dan jasa orang lama mereka mahu padam. Mereka
mahu dikenang sebagai hero.
"Ramai pemimpin DAP di cawangan yang mengadu pada saya, saya boleh
cakap ramai sangat yang mengadu. Malah, ada ketua-ketua cawangan DAP nak
minta Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) pun takut hingga minta bantuan
dengan saya," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 25/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan