KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat
laporan polis berhubung tindakan sebuah laman sosial yang menggunakan
nama pergerakan itu untuk memuat turun satu poster yang berbaur hasutan.
Laporan tersebut dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional, Ibdilillah Ishak di Balai Polis Tun H. S. Lee di sini pada pukul 4 petang ini.
Menurut Ibdilillah, pihaknya mengecam dan memandang serius tindakan
pengendali laman sosial terbabit kerana perbuatan itu telah menyentuh
sensitiviti agama menerusi poster yang berbaur hasutan.
Beliau berkata, poster yang dimuat turun di laman sosial Facebook
yang memaparkan wajah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di
bahagian utama itu sebenarnya bukan milik rasmi Pergerakan Pemuda UMNO,
malah ia dikendalikan tanpa pengetahuan dan mandat Ketuanya, Khairy
Jamaluddin.
"Kenyataan dalam poster itu jelas menunjukkan terdapat individu yang
tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan fitnah dan mencemarkan nama baik
pergerakan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas
membuat laporan, di sini hari ini.
Khairy sebelum ini, turut menafikan poster yang dimuat turun dan
disebarkan melalui Facebook itu milik rasmi Pergerakan Pemuda UMNO
menerusi mesej Twitter pada malam kelmarin susulan pertanyaan
pengikutnya.
Menurut Ibdilillah, beliau mengetahui mengenai poster berbaur hasutan
yang dimuat turun oleh pengendali laman sosial yang mengaku sebagai
ahli pergerakan itu pada Sabtu lalu setelah dimaklumkan pengikut Twitter
Khairy.
"Namun, semasa melihat laman sosial itu pada pukul 1 petang tadi,
poster yang mengandungi mesej hasutan itu telah dipadamkan," katanya.
Ibdilillah berkata, pihaknya berharap polis dapat menjalankan
siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab
mengendalikan laman sosial berkenaan.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan