26 Ogos 2012

Poster hasutan: Pemuda UMNO buat laporan polis

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Pergerakan Pemuda UMNO hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah laman sosial yang menggunakan nama pergerakan itu untuk memuat turun satu poster yang berbaur hasutan.
Laporan tersebut dibuat oleh Setiausaha Kerja Pemuda Barisan Nasional, Ibdilillah Ishak di Balai Polis Tun H. S. Lee di sini pada pukul 4 petang ini.
Menurut Ibdilillah, pihaknya mengecam dan memandang serius tindakan pengendali laman sosial terbabit kerana perbuatan itu telah menyentuh sensitiviti agama menerusi poster yang berbaur hasutan.
Beliau berkata, poster yang dimuat turun di laman sosial Facebook yang memaparkan wajah Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bahagian utama itu sebenarnya bukan milik rasmi Pergerakan Pemuda UMNO, malah ia dikendalikan tanpa pengetahuan dan mandat Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
"Kenyataan dalam poster itu jelas menunjukkan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab cuba menimbulkan fitnah dan mencemarkan nama baik pergerakan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan, di sini hari ini.
Khairy sebelum ini, turut menafikan poster yang dimuat turun dan disebarkan melalui Facebook itu milik rasmi Pergerakan Pemuda UMNO menerusi mesej Twitter pada malam kelmarin susulan pertanyaan pengikutnya.
Menurut Ibdilillah, beliau mengetahui mengenai poster berbaur hasutan yang dimuat turun oleh pengendali laman sosial yang mengaku sebagai ahli pergerakan itu pada Sabtu lalu setelah dimaklumkan pengikut Twitter Khairy.
"Namun, semasa melihat laman sosial itu pada pukul 1 petang tadi, poster yang mengandungi mesej hasutan itu telah dipadamkan," katanya.
Ibdilillah berkata, pihaknya berharap polis dapat menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab mengendalikan laman sosial berkenaan.
/hwa: utusan.com.my | 21/8/12 

Tiada ulasan: