SEBAHAGIAN daripada penduduk tempatan
yang menyertai perarakan sempena program Merdeka Raya di Pantai
Peranginan Air Tawar, Besut, semalam.
*****
BESUT 8 Sept. - Majlis Merdeka Raya yang diadakan di Pantai
Peranginan Air Tawar dekat sini, hari ini berlangsung meriah dan penuh
warna-warni sambil disaksikan kira-kira 30,000 penduduk dari lima
kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini.
Bermula seawal pukul 8 pagi, kawasan Dataran Rebana di pantai itu
dipenuhi para peserta senamrobik merdeka selain peserta acara perarakan
dan perbarisan yang mewakili jabatan-jabatan kerajaan.
Selain itu, perbarisan tersebut juga disertai oleh wakil-wakil
sekolah menengah dan rendah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO),
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari lima DUN iaitu
Jertih, Hulu Besut, Kota Putera, Kuala Besut dan Jabi.
Program anjuran bersama Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Besut; Pejabat
Daerah Besut dan UMNO Bahagian Besut itu sekali lagi mencatat sejarah
tersendiri kerana merupakan kali kedua disambut secara besar-besaran.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin;
Ahli DUN (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Kota Putera, Muhamad
Pehimi Yusof; ADUN Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan ADUN Jabi,
Ramlan Ali serta Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh.
Tahun lalu, Semarak Merdeka yang diadakan di Dataran Jertih Souq
berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung selain mengumpulkan individu
berjaya termasuk usahawan dari daerah Besut.
Paling meriah dan menarik perhatian pengunjung ialah perarakan 55
buah kereta berhias yang mewakili jabatan kerajaan dan swasta bermula
dari Stadium Mini Kota Putera dan motosikal roda tiga, teksi serta
kereta sewa.
Program itu bermula malam tadi dengan perarakan kereta berhias di
Jertih dari Pasir Akar, Hulu Besut dan Kuala Besut dan diserikan
perarakan tanglung yang dipimpin Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri
Idris Jusoh.
Idris bersama lebih 200 peserta termasuk kanak-kanak juga membawa 300
tanglung pelbagai bentuk mengelilingi bandar Jertih sejauh kira-kira
tiga kilometer sebelum memberi laluan kepada perarakan kereta berhias
mengambil tempat.
Majlis sambutan hari ini pula dimeriahkan dengan kenduri rakyat yang
antara lain menghidangkan kuih-muih dan makanan tradisi yang
dikendalikan oleh setiap DUN.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan