11 September 2012

30,000 warnai kemeriahan merdeka raya

SEBAHAGIAN daripada penduduk tempatan yang menyertai perarakan sempena program Merdeka Raya di Pantai Peranginan Air Tawar, Besut, semalam.
*****
BESUT 8 Sept. - Majlis Merdeka Raya yang diadakan di Pantai Peranginan Air Tawar dekat sini, hari ini berlangsung meriah dan penuh warna-warni sambil disaksikan kira-kira 30,000 penduduk dari lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di daerah ini.
Bermula seawal pukul 8 pagi, kawasan Dataran Rebana di pantai itu dipenuhi para peserta senamrobik merdeka selain peserta acara perarakan dan perbarisan yang mewakili jabatan-jabatan kerajaan.
Selain itu, perbarisan tersebut juga disertai oleh wakil-wakil sekolah menengah dan rendah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari lima DUN iaitu Jertih, Hulu Besut, Kota Putera, Kuala Besut dan Jabi.
Program anjuran bersama Pejabat Khidmat Ahli Parlimen Besut; Pejabat Daerah Besut dan UMNO Bahagian Besut itu sekali lagi mencatat sejarah tersendiri kerana merupakan kali kedua disambut secara besar-besaran.
Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Dr. Abdullah Md. Zin; Ahli DUN (ADUN) Hulu Besut, Nawi Mohamad; ADUN Kota Putera, Muhamad Pehimi Yusof; ADUN Kuala Besut, Dr. A. Rahman Mokhtar dan ADUN Jabi, Ramlan Ali serta Pegawai Daerah Besut, A. Rahim Jusoh.
Tahun lalu, Semarak Merdeka yang diadakan di Dataran Jertih Souq berjaya menarik lebih 40,000 pengunjung selain mengumpulkan individu berjaya termasuk usahawan dari daerah Besut.
Paling meriah dan menarik perhatian pengunjung ialah perarakan 55 buah kereta berhias yang mewakili jabatan kerajaan dan swasta bermula dari Stadium Mini Kota Putera dan motosikal roda tiga, teksi serta kereta sewa.
Program itu bermula malam tadi dengan perarakan kereta berhias di Jertih dari Pasir Akar, Hulu Besut dan Kuala Besut dan diserikan perarakan tanglung yang dipimpin Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris bersama lebih 200 peserta termasuk kanak-kanak juga membawa 300 tanglung pelbagai bentuk mengelilingi bandar Jertih sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum memberi laluan kepada perarakan kereta berhias mengambil tempat.
Majlis sambutan hari ini pula dimeriahkan dengan kenduri rakyat yang antara lain menghidangkan kuih-muih dan makanan tradisi yang dikendalikan oleh setiap DUN.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12

Tiada ulasan: