Pages

9 September 2012

Jangan jadikan masjid tempat berpolitik

Mohd. Yusof Ismail (dua dari kanan) bersama ahli Perkasa menunjukkan kain rentang bertulis 'Perkasa Kota Setar Menentang Penggunaan Masjid Sebagai Pentas Politik' pada sidang akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam. 
*****
ALOR SETAR 5 Sept. - Parti-parti politik di negara ini diingatkan agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat untuk berpolitik kerana ia akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar, Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, Perkasa akan menentang habis-habisan sesiapa sahaja yang menggunakan masjid sebagai medan politik.
"Kita tidak mahu lihat lagi masjid dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik dan adalah tanggungjawab ahli-ahli Perkasa di seluruh negara untuk mempertahankan kesucian masjid.
"Kami harap, Ahad lalu adalah hari terakhir parti politik menggunakan masjid sebagai tempat untuk berpolitik," katanya kepada pemberita di pejabat Perkasa Kota Setar di sini hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa dibaling kasut ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussin, Pumpong di sini dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh ahli Perkasa yang didalangi oleh UMNO.
Bagaimanapun, Perkasa menafikan perbuatan itu dilakukan oleh ahli pertubuhan tersebut.
Menurut Mohd. Yusuf, Perkasa juga mempunyai perjuangan sendiri dan tidak terlibat dengan mana-mana parti politik seperti yang didakwa oleh pihak pembangkang.
"Kami tahu pembangkang akan kata Perkasa adalah kuda tunggangan UMNO. Mereka boleh kata apa sahaja. Kami tidak kisah dengan tohmahan itu.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun merupakan kuda suruhan DAP. Jadi buat apa kami nak takut dengan tohmahan pembangkang seperti itu," jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Yusuf berkata, Perkasa tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pakatan pembangkang terutama Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memutarbelitkan kisah yang berlaku di Masjid Al-Hussin, Pumpong.
"Tidak ada gambar atau video di internet yang memaparkan ahli Perkasa membaling kasut di dalam masjid tersebut. Jadi kami minta pihak pembangkang berhentilah daripada menjaja cerita ini untuk kepentingan mereka," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan