Mohd. Yusof Ismail (dua dari kanan)
bersama ahli Perkasa menunjukkan kain rentang bertulis 'Perkasa Kota
Setar Menentang Penggunaan Masjid Sebagai Pentas Politik' pada sidang
akhbar di Alor Setar, Kedah, semalam.
*****
ALOR SETAR 5 Sept. - Parti-parti politik di negara ini diingatkan
agar tidak menjadikan masjid sebagai tempat untuk berpolitik kerana ia
akan menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Pengerusi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kota Setar,
Datuk Mohd. Yusof Ismail berkata, Perkasa akan menentang habis-habisan
sesiapa sahaja yang menggunakan masjid sebagai medan politik.
"Kita tidak mahu lihat lagi masjid dijadikan sebagai tempat untuk
berpolitik dan adalah tanggungjawab ahli-ahli Perkasa di seluruh negara
untuk mempertahankan kesucian masjid.
"Kami harap, Ahad lalu adalah hari terakhir parti politik menggunakan
masjid sebagai tempat untuk berpolitik," katanya kepada pemberita di
pejabat Perkasa Kota Setar di sini hari ini.
Ahad lalu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa
dibaling kasut ketika menyampaikan tazkirah di Masjid Al-Hussin, Pumpong
di sini dan mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh ahli Perkasa
yang didalangi oleh UMNO.
Bagaimanapun, Perkasa menafikan perbuatan itu dilakukan oleh ahli pertubuhan tersebut.
Menurut Mohd. Yusuf, Perkasa juga mempunyai perjuangan sendiri dan
tidak terlibat dengan mana-mana parti politik seperti yang didakwa oleh
pihak pembangkang.
"Kami tahu pembangkang akan kata Perkasa adalah kuda tunggangan UMNO.
Mereka boleh kata apa sahaja. Kami tidak kisah dengan tohmahan itu.
"Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun merupakan kuda suruhan DAP. Jadi
buat apa kami nak takut dengan tohmahan pembangkang seperti itu,"
jelasnya.
Sementara itu, Mohd. Yusuf berkata, Perkasa tidak teragak-agak untuk
mengambil tindakan undang-undang terhadap pakatan pembangkang terutama
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memutarbelitkan kisah
yang berlaku di Masjid Al-Hussin, Pumpong.
"Tidak ada gambar atau video di internet yang memaparkan ahli Perkasa
membaling kasut di dalam masjid tersebut. Jadi kami minta pihak
pembangkang berhentilah daripada menjaja cerita ini untuk kepentingan
mereka," tambahnya.
/hwa: utusan.com.my | 6/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan