KUALA LUMPUR 6 Sept. - Sikap kurangnya semangat untuk mengibarkan
Jalur Gemilang biarpun dalam bulan kemerdekaan berpunca daripada kempen
politik kebencian parti pembangkang.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu
jelas menunjukkan sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti
daripada negara sendiri.
Tegasnya, keadaan itu merupakan suatu yang bahaya kerana ia mampu
menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyat, sekaligus
menjadikan negara tidak selamat.
"Mereka tidak setia kepada negara, tetapi setia kepada parti dan
sebab itu golongan ini sanggup mengibarkan bendera sendiri daripada
Jalur Gemilang.
"Sekiranya sikap ini dikembangkan, negara tidak akan mempunyai satu
simbol yang diterima semua pihak tetapi lebih bersifat individu atau
pihak-pihak tertentu," katanya ketika sesi soal jawab dalam majlis
Sepetang Bersama Tun Dr. Mahathir di sini hari ini.
Majlis yang dianjurkan oleh Kelab Pesara Kerajaan Lembah Pantai itu
membuka ruang kepada para hadirin untuk berdialog bersama Dr. Mahathir.
Hadir sama, isteri beliau, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja
Zainal Abidin.
Dr. Mahathir berkata, politik kebencian yang dibawa oleh pembangkang
juga menyebabkan banyak pihak menutup mata terhadap kebaikan yang
dilakukan oleh kerajaan.
"Kalau sudah benci, kita tidak nampak lagi kebaikan yang dilakukan
oleh kerajaan, malah menjadikan kita tidak mampu untuk berfikir dengan
lebih baik," ujarnya.
Jelasnya, sikap sesetengah pihak yang lebih mementingkan parti
politik sehingga sanggup memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan orang
Melayu juga merupakan antara anasir yang mampu menggugat kesejahteraan
dan keamanan yang dikecapi selama ini.
Katanya, UMNO telah membuktikan penyertaan selama lebih 55 tahun
dalam pentadbiran negara berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum di
negara ini melalui konsep perkongsian kuasa yang diamalkan.
"Inilah Malaysia, kita berkongsi apa sahaja secara bersama
termasuklah soal pentadbiran dan kuasa, malah, konsep ini telah
dimulakan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman lagi,"
tegasnya.
Selain itu, Dr. Mahathir turut mengingatkan rakyat bahawa menukar
kerajaan bukanlah satu jaminan untuk negara menjadi lebih baik daripada
apa yang dikecapi kini.
Ini kerana jelasnya, ia juga boleh menjadikan negara lebih teruk daripada sekarang.
"Tukar tidak semestinya yang terbaik, tetapi mungkin menjadi
terburuk. Kalau tidak percaya pergilah lihat sendiri ke negara-negara
lain yang mencapai kemerdekaan sama dengan Malaysia, bagaimana keadaan
mereka sekarang," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 7/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan