Pages

11 September 2012

Malaysia tuan rumah APEC

NAJIB Tun Razak bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin (depan enam dari kiri) bergambar bersama pemimpin-pemimpin dunia yang lain pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Far Eastern Federal Universiti, Pulau Russky di Rusia, semalam. - BERNAMA 
*****
VLADIVOSTOK, Rusia 9 Sept. - Malaysia bersedia untuk menjadi pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata, berdasarkan susunan dan urutan yang telah dibuat, Malaysia bakal menjadi pengerusi dan tuan rumah sidang yang menjadi medan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) itu pada 2020 nanti.
"Kita dijadualkan menjadi tuan rumah APEC pada 2020 kalau mengikut susunan yang ada. Tentunya ini berlaku pada saat yang amat penting dan bermakna kepada negara," katanya pada penghujung AELM, yang berakhir di sini hari ini.
Tahun ini, Rusia menjadi pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak APEC di Pulau Russky dekat sini itu. Tahun depan, giliran Indonesia pula untuk menjadi pengerusi dan tuan rumah persidangan.
"Nampaknya kita memang akan menjadi tuan rumah APEC pada tahun itu (2020), insya-Allah. Bagaimanapun perjalanan (jadi tuan rumah) itu masih jauh," tambah Najib.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu APEC memperkukuhkan isu keselamatan makanan dalam konteks meningkatkan juga pendapatan pengeluar makanan iaitu petani, peladang dan nelayan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, petani, peladang dan nelayan sepatutnya menerima harga yang lebih adil dan saksama daripada hasil pengeluaran mereka ekoran usaha-usaha APEC untuk menjadikan rangkaian bekalan menjadi lebih cekap dan efisien.
"Ini penting agar tidaklah sebahagian besar daripada setiap wang yang dibelanjakan untuk apa sahaja makanan, hanya sepuluh peratus sahaja atau kurang daripada itu diterima oleh petani (peladang dan nelayan). Disebabkan ketidakcekapan rangkaian bekalan, orang lain pula dapat keuntungan," ujar beliau.
Katanya, jika APEC dapat menjadikan rangkaian bekalan lebih cekap dan efisien, seperti dengan mengurangkan pembaziran, menambahkan lagi kemudahan-kemudahan seperti tempat simpanan serta baiki sistem logistik, Malaysia berharap keuntungan yang diperolehi daripada usaha-usaha itu dapat diperolehi petani, peladang dan nelayan.
"Dengan cara ini, kalau petani, peladang dan nelayan dapat keuntungan yang lebih, mereka tentunya akan mendapat galakan dan insentif untuk menambahkan lagi pengeluaran makanan," ujar beliau. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan