NAJIB Tun Razak bersama Presiden
Rusia, Vladimir Putin (depan enam dari kiri) bergambar bersama
pemimpin-pemimpin dunia yang lain pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi
Asia Pasifik (APEC) di Far Eastern Federal Universiti, Pulau Russky di
Rusia, semalam. - BERNAMA
*****
VLADIVOSTOK, Rusia 9 Sept. - Malaysia bersedia
untuk menjadi pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi
Asia-Pasifik (APEC) pada 2020, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak.
Beliau berkata, berdasarkan susunan dan urutan yang telah dibuat,
Malaysia bakal menjadi pengerusi dan tuan rumah sidang yang menjadi
medan Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) itu pada 2020
nanti.
"Kita dijadualkan menjadi tuan rumah APEC pada 2020 kalau mengikut
susunan yang ada. Tentunya ini berlaku pada saat yang amat penting dan
bermakna kepada negara," katanya pada penghujung AELM, yang berakhir di
sini hari ini.
Tahun ini, Rusia menjadi pengerusi dan tuan rumah Sidang Kemuncak
APEC di Pulau Russky dekat sini itu. Tahun depan, giliran Indonesia pula
untuk menjadi pengerusi dan tuan rumah persidangan.
"Nampaknya kita memang akan menjadi tuan rumah APEC pada tahun itu
(2020), insya-Allah. Bagaimanapun perjalanan (jadi tuan rumah) itu masih
jauh," tambah Najib.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia mahu APEC
memperkukuhkan isu keselamatan makanan dalam konteks meningkatkan juga
pendapatan pengeluar makanan iaitu petani, peladang dan nelayan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, petani, peladang
dan nelayan sepatutnya menerima harga yang lebih adil dan saksama
daripada hasil pengeluaran mereka ekoran usaha-usaha APEC untuk
menjadikan rangkaian bekalan menjadi lebih cekap dan efisien.
"Ini penting agar tidaklah sebahagian besar daripada setiap wang yang
dibelanjakan untuk apa sahaja makanan, hanya sepuluh peratus sahaja
atau kurang daripada itu diterima oleh petani (peladang dan nelayan).
Disebabkan ketidakcekapan rangkaian bekalan, orang lain pula dapat
keuntungan," ujar beliau.
Katanya, jika APEC dapat menjadikan rangkaian bekalan lebih cekap dan
efisien, seperti dengan mengurangkan pembaziran, menambahkan lagi
kemudahan-kemudahan seperti tempat simpanan serta baiki sistem logistik,
Malaysia berharap keuntungan yang diperolehi daripada usaha-usaha itu
dapat diperolehi petani, peladang dan nelayan.
"Dengan cara ini, kalau petani, peladang dan nelayan dapat keuntungan
yang lebih, mereka tentunya akan mendapat galakan dan insentif untuk
menambahkan lagi pengeluaran makanan," ujar beliau. - UTUSAN.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan