KUANTAN 3 Sept. - Pemimpin tertinggi Parti
Keadilan Rakyat (PKR) perlu menasihati pemimpin muda mereka supaya
belajar tentang adab berpolitik dan tidak bertindak biadab kerana ia
bukan budaya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamid berkata,
perbuatan mereka menghina pemimpin negara dan Jalur Gemilang pada
Himpunan Janji Bersih baru-baru ini adalah sesuatu yang tidak boleh
diterima oleh rakyat.
Menurutnya, beliau mendapat maklumat balas daripada ramai pihak
termasuk generasi lama yang menyatakan perbuatan itu tidak boleh
diterima oleh mereka.
"Saya fikir generasi baru yang berpelajaran, golongan profesional
serta intelek turut tidak boleh menerima perbuatan itu," katanya selepas
program lawatan bersama media ke Pangkalan Tentera Udara Diraja
Malaysia (TUDM) Kuantan di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, tindakan
perundangan boleh diambil terhadap mereka, tetapi kerana ia perbuatan
politik maka ia harus diselesaikan secara politik.
"Satu caranya ialah menolak PKR dan pakatan pembangkang pada Pilihan
Raya Umum Ke-13 nanti. Kita tidak mahu mengajar rakyat Malaysia jadi
biadab, apatah lagi menghina mana-mana pemimpin termasuk Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri," katanya.
Menurutnya, sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat telah memilih
serta mengiktiraf kepimpinan dan kerajaan yang ada sekarang melalui
pilihan raya umum lalu.
Kononnya mahu menegakkan demokrasi tetapi daripada segi amalan dan
perbuatannya tidak demokratik, maka politik sebegitu harus ditolak,"
katanya.
Beliau berharap kesedaran muncul terutama di kalangan pengundi muda
atas pagar supaya memikirkan secara rasional pihak yang lebih berwibawa
untuk dipilih sebagai pemimpin.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan