Pages

5 September 2012

UMNO tidak berkompromi terhadap pengkhianat

KUANTAN 3 Sept. - UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemimpin dan ahlinya yang mensabotaj parti dengan membocorkan maklumat mengenai calon serta jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, jika sebelum ini tindakan terhadap golongan berkenaan diambil selepas pilihan raya, kali ini, Jawatankuasa Disiplin UMNO melakukannya sebelum pilihan raya umum diadakan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sudah memberi amaran supaya tiada mana-mana individu menjual maklumat, membocorkan rahsia dan bersekongkol dengan mereka (pembangkang).
"Jika perbuatan itu dilakukan, saya fikir mereka (ahli) harus membayarnya dengan mahal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, beliau bersama dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut membantu Perdana Menteri dalam memberikan input mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Kami juga diminta membantu meneliti calon di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memberi maklumat mengenai mereka kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun calon yang layak bertanding ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya.
Beliau seterusnya menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO serta parti komponen BN supaya akur dengan keputusan yang ditentukan nanti.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan