KUANTAN 3 Sept. - UMNO tidak akan berkompromi terhadap mana-mana
pemimpin dan ahlinya yang mensabotaj parti dengan membocorkan maklumat
mengenai calon serta jentera menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar)
berkata, jika sebelum ini tindakan terhadap golongan berkenaan diambil
selepas pilihan raya, kali ini, Jawatankuasa Disiplin UMNO melakukannya
sebelum pilihan raya umum diadakan.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan
Pengerusi Barisan Nasional (BN) sudah memberi amaran supaya tiada
mana-mana individu menjual maklumat, membocorkan rahsia dan bersekongkol
dengan mereka (pembangkang).
"Jika perbuatan itu dilakukan, saya fikir mereka (ahli) harus
membayarnya dengan mahal," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan memberitahu, beliau bersama
dua lagi Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut membantu Perdana Menteri dalam
memberikan input mengenai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya
Umum Ke-13.
"Kami juga diminta membantu meneliti calon di peringkat Parlimen dan
Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memberi maklumat mengenai mereka
kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun calon yang layak bertanding
ditentukan oleh Perdana Menteri sendiri," katanya.
Beliau seterusnya menyeru semua pemimpin dan ahli UMNO serta parti
komponen BN supaya akur dengan keputusan yang ditentukan nanti.
/hwa: utusan.com.my | 4/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan