Gelagat anak-anak muda ini bangga menunjukkan bendera baru untuk menggantikan Jalur Gemilang pada Perhimpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
"SATU malam sahaja untuk porak-perandakan negara".
*****
Itulah ungkapan pertama terpacul daripada mulut bekas Naib Pengerusi
DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim ketika mengulas cubaan pihak
tertentu untuk menukar Jalur Gemilang.
Ungkapan sama juga sebagai komennya terhadap insiden memijak gambar
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada malam ambang merdeka
oleh pembangkang itu.
"Biadab, biadab, biadab. Saya hilang kata-kata melihat perbuatan
tersebut. Inikah patriotik yang cuba disemaikan oleh pembangkang? Apakah
mereka sudah tidak bertamadun?
''Jika tidak disukai sekalipun pemimpin itu, adakah aksi lucah mereka
itu kita anggap demokrasi? Terkinja-kinja seperti monyet dengan balutan
kuning 'Merdeka' di kepala?
"Bukankah kita dijanjikan sebuah perhimpunan yang aman? Mengapa
benarkan perkara ini terjadi? Apakah peserta-peserta ini tidak cintakan
negara mereka? Saya sendiri merasakan mereka tidak memahami apa itu erti
merdeka kerana boleh melakukan perbuatan seumpama itu. Jika benar
mereka itu patriotik, tidak mungkin mereka boleh bertindak sedemikian,"
tegasnya.
Ketika ditemui penulis di kediaman beliau di Sri Damansara, Kuala
Lumpur malam kelmarin, Tunku Abdul Aziz menyelar pembangkang yang
dilihatnya telah 'mempamerkan keupayaan' memporak perandakan negara
dalam tempoh sehari sahaja dengan merosakkan sambutan Hari Kemerdekaan
menggunakan perhimpunan 'Janji Bersih' di Dataran Merdeka dan sambutan
di peringkat negeri Selangor.
"Bayangkan, selama 54 tahun kita telah menyambut hari kebangsaan dengan bersatu hati di bawah satu bumbung, mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu Negaraku
dengan semangat patriotik, tetapi pada sambutan kali (ke-55) ini,
terdapat segelintir rakyat Malaysia enggan mengakui kewujudan bendera
yang kita hormati.
"Tidak cukup itu, mereka kelihatan begitu bangga mengibarkan pula
bendera yang seakan-akan bendera dari Singapura dan Indonesia. Saya
berasa patah hati melihat anak bangsa sendiri berkelakuan seperti tidak
berakal kerana termakan tohmahan kumpulan berkepentingan yang mahu
mengubah Jalur Gemilang.
"Perlu saya ingatkan golongan ini bahawa Jalur Gemilang adalah
hak milik setiap rakyat Malaysia. Ia bukan bendera parti politik yang
perlu diubah mengikut cita rasa pemerintah. Cubaan mengubah bendera
rasmi sesuka hati adalah perbuatan yang saya anggap sebagai jijik dan
hina," tegasnya.
Tunku Abdul Aziz berkata, pembangkang telah menyemai benih kebencian terhadap Jalur Gemilang dan beliau kelihatan sungguh yakin dengan agenda pembangkang yang mahukan pembentukan sebuah negara republik.
Kata beliau: "Saya harap rakyat dapat lihat ke manakah arah hala tuju
pembangkang kini. Dalam sekelip mata saja, pelbagai keinginan serta
perubahan-perubahan 'aneh' cuba dilakukan oleh mereka.
"Baru sahaja empat tahun memerintah, mereka sudah besar kepala
seolah-olah telah memerintah negara selama 55 tahun. Saya tidak dapat
bayangkan apakah kita masih bersatu padu, andainya diperintah oleh
mereka yang hanya mempunyai kepentingan mereka sendiri. Saya tidak
hairan andainya pembangkang bercita-cita untuk menukar negara ini kepada
negara republik. Itulah kemungkinan besar jawapan saya," katanya.
Ini bukan kali pertama cubaan pakatan pembangkang memprovokasi Jalur Gemilang.
Sebelum ini, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar
Jamaluddin pernah bertindak di luar dugaan dengan menggelarkan Jalur Gemilang
kepada 'Jalur Malang' tanpa sedikit pun perasaan bersalah. Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan pula lebih drastik
dengan berjanji akan mengubah bendera Malaysia kepada bendera baru jika
pembangkang berjaya ke Putrajaya. Malah dia enggan mengakui Jalur Gemilang sebagai bendera rasmi dan berdegil untuk tidak mengibarkan bendera Malaysia di mana-mana beliau berada sehingga kini.
Dalam temu bual itu, Tunku Aziz turut menempelak pemimpin atasan
pakatan pembangkang yang tiba-tiba menuding jari kepada UMNO dengan
menuduh tonggak Barisan Nasional (BN) itu sebagai dalang cubaan menukar Jalur Gemilang
selepas rata-rata masyarakat Malaysia bangkit dengan amarah. Tetapi
selang beberapa jam kemudian, didapati seorang pemimpin Angkatan Muda
Keadilan (AMK) terlibat dalam mereka cipta bendera merah putih itu.
"Adalah menjadi amalan biasa pakatan itu untuk segera menuduh UMNO
punca segala salah silap yang terjadi. Agaknya jika ada bencana alam
pun, akan segera menuduh UMNO sebagai punca bencana alam itu terjadi,"
katanya.
Beliau turut membidas sikap peserta perhimpunan 'Janji Demokrasi'
yang bertindak luar batasan dengan memijak potret Perdana Menteri dan
isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tidak cukup dengan itu, ada peserta bertindak melampau dengan
melondehkan seluar pada gambar tersebut dan ditatap beberapa orang
Melayu dengan siulan kegembiraan oleh anak-anak muda.
Demikian juga apabila kerajaan PKR Selangor membelakangkan peranan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tidak menjemput
baginda ke sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Selangor, insiden
ini juga mendapat perhatian Tunku Abdul Aziz.
Kerajaan negeri berkenaan dilihat hanya membiarkan Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang untuk menjadi orang kenamaan (VIP)
dengan memberikan ucapan selama lebih setengah jam. Apakah ini seminar
ekonomi atau majlis ceramah politik PKR?
"Apa lagi perubahan yang ingin dibuat oleh mereka? Bagaimana boleh
bertindak sedemikian? Adakah ini gaya pembangkang apabila sampai ke
Putrajaya kelak? Saya minta rakyat menilai sendiri betapa rakusnya
pembangkang yang cuba mengambil tampuk kuasa dari kerajaan.
"Mereka (pembangkang) ini perlu 'dinilai' kembali oleh rakyat. Tidak
melampau sekiranya saya katakan sedemikian kerana itulah yang saya rasa
ketika saya meninggalkan mereka. Itu bukan kali pertama saya
meninggalkan DAP, setelah dua bulan menyertai mereka, saya sudah
menghantar surat peletakan jawatan kepada mereka tetapi saya dipujuk
rayu oleh mereka untuk terus tinggal dengan meyakinkan agenda ke
Putrajaya adalah demi rakyat.
"Kononnya kehadiran saya adalah untuk menyelamatkan bangsa Melayu
saya sendiri dari terus dihanyutkan oleh UMNO. Tetapi apabila saya
meminta mereka supaya memberi peluang kepada saya untuk melakukan
tanggungjawab menambah bilangan Melayu dalam DAP, mereka hanya
mendiamkan diri. Seolah-olah DAP tidak perlu pemimpin Melayu lain
kecuali saya seorang. Benarkah DAP itu parti untuk semua? Relevankah
parti itu untuk Melayu," soalnya.
Nada Tunku Abdul Aziz dilihat amat kecewa apabila menyentuh
tindakannya keluar DAP. Beliau bercakap seolah-olah telah lama
meninggalkan parti pembangkang itu.
"Negara luar sedang memerhati bibit-bibit perpecahan yang sedang
terjadi di negara kita. Selama ini kita boleh berbangga, pelbagai bangsa
bawah satu bumbung. Mungkinkah ini masih relevan andainya mereka ini
(pembangkang) memerintah?
"Adakah terlalu tinggi permintaan kita untuk hidup aman damai di bawah satu bumbung? Is it too much too ask? " soal Tunku Abdul Aziz.
/hwa: utusan.com.my | 5/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan