Pages

11 September 2012

Tanggungjawab ahli kembalikan maruah parti

Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menyampaikan anugerah kepada seorang perwakilan UMNO pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna di Dewan Masyarakat Semporna, Semporna, Sabah. Turut kelihatan, Shafie Apdal (kiri). 
*****
SEMPORNA 9 Sept. - Seluruh ahli UMNO bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengembalikan maruah parti yang telah dihina dengan teruk oleh pembangkang selepas tsunami politik 2008.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima secara terbuka ujian Allah pada 2008 itu serta menginsafi kelemahan dan berusaha gigih bagi mengatasinya dengan melakukan pelbagai transformasi terbaik.
"Mengikut sejarah politik negara, Pilihan Raya Umum 2004 paling bagus prestasi BN, tetapi 2008 pula paling teruk," katanya semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Menyentuh mengenai keghairahan pembangkang memukul canang mengatakan akan merampas Sabah, jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan, mereka hanya mencipta guruh, petir serta halilintar.
"Malangnya mereka tidak mampu mencipta hujan. Semua itu hanya omong kosong, sedangkan di negeri yang diperintah pun tidak mampu menunaikan janji, inikan pula di tempat lain.
"Kepada rakyat Sabah, saya ingin ingatkan jangan pula apabila dengar guruh terus mencurahkan air di dalam tempayan. Ada dalam kalangan bekas pemimpin yang percayakan guruh itu hingga sanggup menyertai mereka kerana percaya dengan pelbagai janji manis," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengingatkan seluruh jentera parti bahawa pilihan raya umum kali ini amat getir dan bukan masanya untuk 'menuai' atau mengutip hasil.
Tegas beliau, jangan sesekali mengambil kesempatan mengaut keuntungan kerana lazimnya pada masa itu 'hujan' akan turun dengan hebatnya.
"Buat kerja dengan ikhlas, jangan hanya tunggu ganjaran baru hendak bekerja. Tiada guna poket tebal tetapi parti pula kalah," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan