Pages

11 September 2012

Bekas pemimpin UMNO sokong pembangkang perlu ditentang habis-habisan

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Pemimpin dan ahli UMNO perlu menentang habis-habisan bekas pemimpin parti itu yang kini bersekongkol dengan pakatan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, tindakan itu wajar kerana kelompok berkenaan sanggup menyumpah dan menghina parti yang suatu ketika telah mengangkat martabat mereka menjadi pemimpin dalam Kabinet dan Dewan Rakyat.
"Oleh itu adalah menjadi jihad kepada kita untuk menentang kelompok-kelompok seumpama ini, yang tidak pernah puas dengan nafsu politik mereka dan tidak bersyukur dengan apa yang Allah SWT berikan kepada mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang, di sini, hari ini.
Abdul Azim menegaskan, oleh kerana pakatan pembangkang berada dalam kedudukan tidak selesa untuk menghadapi pilihan raya, mereka bersedia menerima dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk bekas pemimpin-pemimpin UMNO berkenaan.
"Saya berasa hairan dan sedih dengan kelompok seumpama ini kerana mereka bukannya dipinggirkan oleh parti malah berada dalam kedudukan sekarang hasil jasa UMNO kepada mereka.
"Namun, oleh kerana merasakan ada pihak lain boleh mencapai impian dan memenuhi tuntutan nafsu politik mereka, maka mereka bersedia menjadi pengkhianat kepada UMNO dan BN," katanya.
Dalam ucapannya itu, Abdul Azim berkata, UMNO bahagian tersebut menyokong apa juga tindakan Kementerian Dalam Negeri dan Polis Diraja Malaysia bagi memburu mereka yang bertindak biadab ketika menghadiri himpunan Janji Bersih di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos lalu.
"Jangan pedulikan siapa pun yang terlibat, generasi muda atau tidak, apa yang penting mereka perlu dibawa ke muka pengadilan. Kita tidak rela hanya kerana demi meraih undi kelompok berkenaan dibiarkan.
"Kelompok manusia yang tidak menghormati pemimpin negara dan kedaulatan undang-undang, apatah lagi menghina Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan dan maruah rakyat serta negara ini tidak harus ada tempat biar seinci pun di muka bumi Malaysia ini," tegasnya.
Abdul Azim berkata, UMNO bahagian itu percaya bahawa apa yang dilakukan oleh peserta-peserta perhimpunan berkenaan didorong oleh politik kebencian dan biadab yang selama ini diterapkan oleh pakatan pembangkang.
"Selain kehadiran beberapa pemimpin mereka pada perhimpunan itu, kita juga tidak harus lupa bahawa suatu ketika dulu ada pemimpin pembangkang yang pernah menyebut soal menggantikan Jalur Gemilang dan di Perak, ada pemimpin DAP memijak gambar wakil rakyat negeri itu yang menyebelahi BN," katanya.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan