KLANG 9 Sept. - Rakyat diingatkan supaya menolak
dengan sekeras-kerasnya enam amalan politik tidak sihat yang dibawa oleh
pakatan pembangkang di negara ini.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, penolakan itu
mesti dibuat ekoran perkembangan sejak kebelakangan ini apabila
pembangkang menerapkan amalan politik biadab, bebas, fitnah, hukum,
perpecahan serta ganas kepada masyarakat.
Menurutnya, amalan politik sedemikian tidak wajar dijadikan panduan
masyarakat negara ini kerana ia akan merugikan masa depan rakyat serta
pembangunan negara.
"Sekarang kita lihat berlakunya budaya politik baharu yang tidak
sihat dibawa oleh pembangkang seperti politik biadab iaitu memijak
gambar pemimpin dan menghina Jalur Gemilang.
"Begitu juga politik bebas apabila mereka merestui amalan lesbian,
gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Klang di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Mazlynoor Abdul Latif.
Selain itu kata Ahmad, wujud juga politik fitnah apabila memparkan
tohmahan selain amalan politik hukum seperti sembahyang dua imam,
sembelihan orang Barisan Nasional (BN) haram dan mengkafirkan umat
Islam.
"Malah, pakatan pembangkang juga mengamalkan politik perpecahan dalam
kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, selain politik ganas
dalam siri perhimpunan Bersih yang diadakan sebelum ini.
"Maka sewajarnya enam amalan politik ini ditentang habis-habisan oleh
semua kaum tidak kira Melayu, Cina atau India kerana ia
memecah-belahkan masyarakat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan
Perdana Menteri ketika mengulas tindakan pengawal peribadi Penasihat
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa
mengacukan pistol kepada orang awam di Melaka semalam menyifatkan ia
suatu perkara yang pelik.
Ini kerana katanya, kejadian itu barangkali dikaitkan dengan politik
ganas yang diamalkan pakatan pembangkang yang mana kejadian sedemikian
tidak pernah berlaku membabitkan mana-mana pemimpin sebelum ini, baik di
pihak kerajaan, mahupun pembangkang.
"Perdana Menteri mempunyai berbelas-belas pengawal peribadi, begitu
juga Timbalan Perdana Menteri. Selama ini kita dah ada enam Perdana
Menteri, tak pernah dengar mereka acu pistol kepada orang.
"Ini baru jadi Ketua Pembangkang, pengawal peribadi dah mengacu pistol kepada orang... peliklah," ujarnya.
/hwa: utusan.com.my | 10/9/12
Tiada ulasan:
Catat Ulasan