NAJIB Tun Razak ketika majlis pecah
tanah bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri di Penampang,
Sabah, semalam. Turut sama Rosmah Mansor, Musa Aman (dua, kiri),
Bernard Dompok (tengah) dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan
Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum (kiri). - BERNAMA
*****
PENAMPANG 13 Okt. - Perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan
Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang akan ditandatangani Isnin ini
dilihat mampu mengurangkan kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI)
dari selatan negara itu di Sabah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, proses damai
tersebut akan menjadikan wilayah itu kembali pulih dan berada dalam
keadaan baik, sekali gus menyebabkan penduduknya tidak berfikir untuk ke
negeri ini bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Beliau berkata, ketidakstabilan, kemunduran dan konflik 40 tahun di
wilayah tersebut menyebabkan penduduk di situ mengambil keputusan
berhijrah ke negeri ini yang berada dalam keadaan aman.
''Usaha dan peranan Malaysia sebagai perunding bukan sahaja berjaya
menamatkan konflik selama 40 tahun antara kerajaan Filipina dan MILF,
tetapi memberi manfaat besar kepada negara ini,'' katanya ketika berucap
dalam majlis pecah tanah bangunan Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri
(ILMAN) dan perasmian Jambatan Inobong di sini hari ini.
Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor
serta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ahli Parlimen Penampang
yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard
Dompok dan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Yahya Hussin serta Tan
Sri Joseph Pairin Kitingan.
Pada majlis tersebut, Perdana Menteri merasmikan Jambatan Inobong
sepanjang 84 meter yang bernilai RM9.05 juta dan melakukan pecah tanah
sebagai simbolik pembinaan ILMAN di Kampung Pogun Kibabaig, dekat sini
yang menelan belanja sebanyak RM33 juta.
Pembinaan ILMAN dijangka bermula bulan depan dan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun lagi.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pembinaan sekolah
menengah di Moyog dekat sini bagi dimasukkan dalam senarai untuk
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran pada tahun depan, selain
kelulusan membina sebuah dewan orang ramai dan pusat Permata Negara di
Inobong.
Najib berkata, usaha kerajaan menangani masalah PATI di negeri ini
dilakukan secara serius apabila tertubuhnya Jawatankuasa Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI).
Jelas beliau, penubuhan RCI bukan kerana tuntutan daripada pihak
parti pembangkang, sebaliknya dilakukan kerana ketegasan kerajaan
Barisan Nasional (BN) menangani masalah PATI di Sabah secara
komprehensif.
Menurut beliau, perjuangan yang dilakukan oleh Dompok dan Parti
Bersatu Sabah (PBS) merupakan usaha berterusan BN dalam merealisasikan
hasrat rakyat di negeri ini yang mahu isu PATI diselesaikan dengan
bijaksana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan