SASTERAWAN Negara, PROF. EMERITUS DATUK DR.
SHAHNON AHMAD, 79, kini agak uzur kerana penyakit myasthenia gravis
berkaitan saraf selain masalah pendengaran yang dialaminya namun tetap
bersemangat berbicara tentang senario politik tanah air terutama
mengenai kerjasama di antara UMNO dan Pas.
Dalam satu pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. AZELI
ALI dan jurugambar ISMAIL KAMADIN selama hampir satu jam di rumahnya di
Changkat Minden, Gelugor, Pulau Pinang, Jumaat lalu, beliau yang juga
ahli seumur hidup Pas turut bercerita mengenai novel terbarunya yang
bertajuk Mahabbah.
Menurutnya, perumpamaan dua batang sungai yang mengalir menuju ke satu kuala yang digarap di dalam novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merujuk kepada persepakatan antara dua parti utama mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas.
Sambil meminta semua pihak menjaga keharmonian di dalam berpolitik, beliau tidak mengelak ketika ditanya tentang bahaya kerjasama Pas-DAP, pengaruh Anwarinas dalam Pas dan pesanan terhadap masyarakat Melayu Islam.
Menurutnya, perumpamaan dua batang sungai yang mengalir menuju ke satu kuala yang digarap di dalam novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka itu merujuk kepada persepakatan antara dua parti utama mewakili orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan Pas.
Sambil meminta semua pihak menjaga keharmonian di dalam berpolitik, beliau tidak mengelak ketika ditanya tentang bahaya kerjasama Pas-DAP, pengaruh Anwarinas dalam Pas dan pesanan terhadap masyarakat Melayu Islam.
MINGGUAN: Boleh Datuk ceritakan perkembangan sekarang, adakah masih aktif dalam bidang penulisan dan kesusasteraan tanah air?
SHAHNON: Sekarang ini kesihatan saya tidak berapa baik kerana beberapa penyakit termasuk myasthenia gravis namun
tidak berapa serius. Selain itu ada masalah pendengaran sikit-sikit.
Saya juga masih boleh mengarang novel dan cerpen termasuk yang terbaru
novel bertajuk Mahabbah yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Novel itu baru sahaja dilancarkan oleh Naib Canselor Universiti
Sains Malaysia (USM) Prof. Datuk Dr. Omar Osman baru-baru ini. Mahabbah
yang bermaksud cinta menjadi agenda bagi saya meneruskan perjuangan
menyatupadukan orang Islam di Malaysia. Di dalam novel itu biarpun saya
tak sebut nama tapi kalau orang baca dengan teliti penghujungnya merujuk
kepada UMNO dan Pas yang akhirnya bersatu.
Bagaimana pula penglibatan Datuk di dalam Pas. Adakah masih aktif?
SHAHNON: Saya masih lagi ahli Pas seumur hidup sebab setakat ini tak
ada apa-apa masalah tentang keahlian saya itu. Tapi saya dah tak aktif
sebagai penggerak di dalam gerakan disebabkan keuzuran ini. Namun saya
masih teruja mengutarakan persoalan politik di dalam karya-karya saya
termasuk novel Mahabbah itu.
Satu ketika dahulu Datuk dilihat agak lantang mengkritik kerajaan
tetapi kini dilihat semakin berkurangan. Apakah yang menyebabkan Datuk
berubah sikap?
SHAHNON: Dahulu pun saya tidaklah begitu lantang bersuara tetapi
lebih kritikal mempersoalkan isu-isu ketidakadilan serta amalan rasuah
dalam kalangan pemimpin negara di dalam karangan-karangan saya. Sekarang
ini saya lihat sudah ada perubahan yang optimis dan menggalakkan
dilakukan oleh pemimpin negara kita. Walau saya tak kritik tapi setiap
bulan melalui kolum khas di dalam majalah Dewan Sastera saya tetap menulis mengenai kegemilangan dan kestabilan negara serta isu kestabilan Malaysia.
Bagaimana Datuk melihat perjuangan Pas kini berbanding dahulu?
SHAHNON: Saya melihat Pas kini melalui dua perubahan besar iaitu para
ulama tidak lagi memainkan peranan penting malah Timbalan Presidennya
sendiri bukan dari kalangan ulama tetapi lebih kepada sekular. Pas
adalah parti yang memperjuangkan Islam jadi seharusnya ia dipimpin oleh
ulama. Mengambil contoh pada zaman Rasulullah SAW di Madinah, baginda
mendapat wahyu daripada Allah dan memerintah berlandaskan al-Quran. Pas
juga perlu memerintah berlandaskan al-Quran jadi kita perlukan orang
yang fasih iaitu ulama untuk mentafsirkan kitab Allah itu di dalam
pentadbiran. Saya sebenarnya bimbang Pas akan hilang arah sekiranya
golongan ulama semakin berkurangan dan tiada pengganti kepada Mursyidul
Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang semakin dimamah usia. Oleh itu tokoh-tokoh muda Pas harus
datang daripada golongan ulama muda yang boleh mentafsir al-Quran dan
Sunah.
Kenyataan saya ini bukan bermakna saya menolak golongan muda yang
liberal dan aktivis masyarakat kerana mereka juga penting tetapi tunjang
parti sepatutnya golongan ulama. Perubahan kedua adalah kerjasama Pas
dengan parti-parti lain terutama DAP. Saya tidak menolak Pas dan DAP
bersama namun mereka harus menjadikan Islam sebagai penentu keputusan.
Oleh itu saya menyokong kenyataan Nik Aziz tentang kerjasama dengan DAP
cuma ia perlu diubah kepada DAP perlukan Pas. Sewaktu berhijrah ke
Madinah dan mendirikan negara Islam, Rasulullah SAW juga bekerjasama
dengan Yahudi, Nasrani dan Musyrikin Madinah tetapi syarat utama adalah
mereka tidak boleh remeh-temeh terhadap Islam dan menerima Islam adalah
penentu keputusan. Oleh itu kalau mereka (Pas) bekerjasama dengan DAP
pasti tak ada salahnya jika mereka boleh bekerjasama dengan UMNO kerana
kedua-duanya nak negara Islam. Konteks kerjasama yang kita harapkan
adalah selalu adakan pertemuan dan bermesyuarat bagi mencari titik
persamaan.
Datuk pernah berkata Pas sudah tidak menepati kehendak Islam apabila
bersekongkol dengan DAP, boleh Datuk ulas perkara ini lebih lanjut?
SHAHNON: Ia kembali kepada permasalahan utama iaitu Pas kini tidak
lagi dipimpin oleh ulama yang membawa Pas lari dari landasan Islam
sebenar. Saya juga dapati Pas kini lebih banyak berbicara isu-isu
sekular serta bersifat kebendaan, berbentuk fizikal serta lebih ke arah
keduniaan berbanding matlamat utama iaitu ukhrawi. Kita tidak boleh
menolak dunia untuk akhirat tetapi perlu kedua-duanya kerana yang hakiki
dan abadi adalah kehidupan di akhirat nanti. DAP pernah berkata mereka
menolak hudud dan beberapa pemimpin di dalam Pas seolah-olah bersetuju
dengan pandangan itu sedangkan hudud adalah matlamat utama Pas selain
menubuhkan negara Islam.
Jadi adakah Datuk rasa perkara ini berlaku kerana kepimpinan Pas
tidak nampak 'bahaya' kerjasama ini atau mereka hanya pejamkan mata?
SHAHNON: Saya setuju kalau dikatakan mereka tak nampak 'bahaya' itu
atau mungkin beranggapan politik hanya untuk mengejar kuasa, publisiti
atau kerusi dalam pilihan raya sahaja. Ramai golongan muda di dalam Pas
hari ini saya rasa hanya melihat lingkungan politik sekular sahaja dan
lari daripada matlamat parti Islam yang menjadi parti ke arah ukhrawi.
Saya lihat Nik Aziz banyak menulis buku tentang perjuangan Pas untuk
membawa rakyat mencapai kejayaan dunia dan akhirat namun kurang
dipersetujui oleh golongan muda. Pas tak boleh lari daripada
memperjuangkan dunia untuk mendapatkan akhirat. Tapi kalau masih ada
orang muda yang lebih fikir duit, populariti atau kepujian semata-mata,
tak ada bezalah Pas macam parti-parti lain yang sekular.
Tetapi kini Pas dilihat tidak memiliki peranan jelas dalam pakatan
pembangkang malah semakin membisu dalam memperjuang perkara pokok parti
iaitu penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud. Pada pandangan
Datuk apa lagi matlamat Pas sekarang?
SHAHNON: Pas tidak boleh lari daripada matlamat utama iaitu
menegakkan negara Islam dan dengan sendirinya mengutamakan hukum hudud
kerana hanya Islam yang boleh membawa kita ke syurga serta membawa
kebahagiaan sebenar di sisi Allah. Tapi kalau semua itu tidak lagi
menjadi keutamaan dan Pas pula hanya pentingkan kerusi maka tunjang
perjuangan Pas tiada makna lagi. Pada saya, kalau matlamat Pas adalah
negara Islam jadi perkara pokok adalah pemimpin harus daripada golongan
ulama. Ulama pun bukan yang penipu atau yang penakut tapi benar-benar
ikhlas berjuang demi Islam dan berharap kepada keredaan Allah.
Perjuangan untuk menegakkan Islam ini tak boleh atas usaha sendiri
sahaja tetapi perlu kembali kepada Allah sebab kita tak memiliki kuasa
yang agung seperti-Nya. Pastinya tiada erti nama parti Islam itu jika
kita gagal memperjuangkan Islam serta memahami al-Quran sebagai teras
amalan.
Bagaimana pula Datuk melihat penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang dan pengaruh Anwarinas di dalam Pas?
SHAHNON: Kalau boleh saya malas nak ulas panjang tentang Anwar kerana
pada saya beliau adalah orang politik yang hanya pentingkan kuasa dan
kerusi dalam pilihan raya. Jadi beliau akan lakukan apa sahaja untuk
mencapai kehendaknya itu asalkan mendapat kekuasaan. Kalau beliau nak
bergabung dengan Pas sepatutnya beliau kena tunduk kepada Islam kerana
saya lihat PKR ini didapati cuba membawa parti-parti lain di dalam
pakatan ke arah sekularisme. Ini pastinya harus ditentang oleh Pas
sekeras-kerasnya. Kebanyakan pemimpin PKR terdiri daripada golongan
sekular dan liberal serta pengaruh mereka mula meresap di dalam diri
ahli-ahli Pas yang terdiri daripada golongan muda yang tidak berapa
teguh keislaman mereka. Pada masa sama, sifat retorik mereka serta
kecekapan berpidato mampu mempengaruhi ahli-ahli Pas. Itu yang saya agak
bimbangkan.
Bagaimana pula Datuk melihat kerjasama antara Pas dan UMNO sama ada
ia harus diteruskan atau tidak kerana ramai pemimpin Pas sendiri menolak
usaha ini?
SHAHNON: Pas dengan UMNO ni nak kelahi buat apa. Macam yang saya
katakan tadi perlunya ada kerjasama di antara Pas dan UMNO kerana ada
titik persamaan antara kedua-dua parti bagi membela rakyat terutama
masyarakat Melayu Islam. Sekarang ini pun setiap hari berlaku fitnah
sesama kita yang akhirnya akan merugikan orang Melayu, jadi kedua-dua
pihak harus mengamalkan musyawarah dan sentiasa duduk semeja bagi
mencapai hasrat bersama. Kita lihat kepada slogan 1Malaysia yang
diutarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia seharusnya
diulas dalam konteks yang lebih luas bukan sekadar satu bangsa dan satu
agama sahaja bagi Pas dan UMNO. Tetapi budaya musyawarah itulah yang
harus diutamakan dan kita nak pemimpin duduk mesyuarat bincang agenda
yang membawa faedah kepada rakyat. Rakyat juga menunggu nak lihat
kematangan berpolitik mereka. Kalau berpolitik semata-mata nak dapat
populariti, pasti Pas dan UMNO tak akan ke mana dan yang rugi pasti
kedua-duanya. Ini adalah harapan seluruh rakyat Malaysia kerana kalau
nak kira negara kita ni unik. Kita miliki pelbagai etnik dan budaya tapi
boleh hidup aman harmoni. Jadi parti politik yang ada pun harus ambil
kesempatan atas kepelbagaian budaya ini dengan bekerjasama bagi mencapai
erti kata sebenar 1Malaysia. Pas sendiri pun bukan sahaja dengan UMNO
tapi nak kerjasama dengan DAP, MCA dan MIC pun pastinya tak ada masalah
dengan syarat Islam diutamakan.
Apakah Datuk lihat UMNO dan Barisan Nasional kini berada di landasan
yang betul dan apakah yang diperlukan untuk UMNO mendapat sokongan
rakyat?
SHAHNON: Sebenarnya pada saya UMNO sebuah parti yang bersifat sekular
dan mementingkan keduniaan juga kerana mereka lebih memikirkan soal
harta benda dan wang ringgit berbanding aspek ukhrawi yang sepatutnya
menjadi matlamat insan. Untuk diterima rakyat terutama orang Melayu
Islam mereka harus ubah mentaliti itu kerana harta benda dan wang
ringgit bukan kebahagiaan hakiki. Malah untuk mendapat sokongan juga
mereka harus ikhlas bersama-sama Pas menegakkan negara Islam dan
melaksanakan hudud.
Akhir sekali apa pesanan Datuk kepada orang Melayu Islam di negara
ini yang semakin berpecah-belah kerana lebih tertumpu kepada politik?
SHAHNON: Pertama sekali sebagai orang Islam kita tak boleh lupakan
al-Quran dan sunah Rasulullah SAW. Jangan terlalu kejar aspek duniawi
sehingga lupa janji Allah tentang akhirat kerana baginda sendiri
berpesan kepada kita agar berpegang kepada dua perkara itu. Kehidupan
kita harus menyeluruh antara dunia dan akhirat dan itulah politik yang
harus dipegang oleh orang Melayu Islam. Dalam mengejar politik itulah
kita memelihara keharmonian sesama masyarakat dan menghormati agama dan
bangsa lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan