Pages

21 Oktober 2012

DAP mahu pujuk Bah Tony

IPOH 18 Okt. - Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini mengesahkan menerima surat keluar parti daripada bekas Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Amani William-Hunt Abdullah yang lebih dikenali sebagai Bah Tony.
Menurut Koo Ham, Bah Tony sudah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan parti itu sejak beberapa bulan lalu sebelum menghantar surat keluar parti secara rasmi 11 hari lalu.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih cuba berunding supaya Bah Tony menarik balik keputusannya itu.
“Selepas beliau serah surat itu pun, saya ada berbincang dengannya. Bah Tony juga ada berjumpa dan beritahu Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa beliau tiada apa-apa pergaduhan dengan saya atau parti. Beliau keluar atas sebab-sebab peribadi.
“Kita masih memujuk dan memohon supaya beliau mempertimbangkan semula keputusannya keluar parti. Kita sedang menunggu keputusan beliau. Walau apa pun keputusan beliau, kita akan terus bekerjasama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bah Tony, 58, yang menempa sejarah sebagai lelaki Orang Asli pertama dilantik sebagai peguam di negara ini dilaporkan telah bertindak keluar daripada DAP baru-baru ini.
Walaupun punca utama Bah Tony meninggalkan parti masih menjadi tanda tanya, terdapat laporan memetik sumber dalaman parti yang mendakwa ia ke|ana beliau tidak sebulu dengan Koo Ham.
Keputusan itu dikatakan mengejutkan ahli dan penyokong DAP memandangkan dia disebut-sebut sebagai calon terbaik DAP untuk menentang calon MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon di kerusi Dewan Undangan Negeri Chenderiang.
Perkembangan itu dijangka meningkatkan rasa tidak puas hati penyokong DAP terhadap kepimpinan Koo Ham yang sebelum ini didakwa menyebabkan perpecahan serius dalam parti itu.
Diminta mengulas perkara itu, Koo Ham bagaimanapun menafikan tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan Bah Tony tidak akan terpilih sebagai calon DAP di Chenderiang.
Sementara itu, usaha Utusan Malaysia menghubungi Bah Tony untuk mendapatkan penjelasan gagal kerana telefon bimbitnya dimatikan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan