Pages

21 Oktober 2012

Shahrizat cabar Anwar

KUALA LUMPUR 18 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar menemukan Datuk S. Nallakaruppan dan isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dengan dua peguam Perancis yang bakal dibawanya ke Malaysia supaya kegiatan sambilan beliau turut dimasukkan dalam agenda pertemuan tersebut.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jika Anwar berpendapat pertemuan dua peguam asing itu dengan ahli-ahli Parlimen negara penting, pertemuan bersama Nallakaruppan dan Wan Azizah juga mustahak.
"Kalau Anwar sanggup jemput orang luar datang bagi membincangkan isu hal ehwal negara, jadi di kesempatan ini Wanita UMNO juga menggesa Nallakaruppan dan Wan Azizah diberi peluang berjumpa dua peguam berkenaan.
"Selain bincang isu dalam negara, dua peguam itu juga patut mengetahui dan mendapat maklumat mengenai kegiatan sambilan Anwar," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tegas Shahrizat, gesaan dibuat kerana rakyat, termasuk akar umbi pakatan pembangkang masih tertanya-tanya mengapa sehingga hari ini Ketua Pembangkang itu gagal untuk menjawab persoalan berhubung isu-isu kegiatan sambilan beliau.
"Alang-alang jemput peguam asing bincang pasal negara sendiri, elok juga dua peguam itu diberi peluang untuk mendapatkan maklumat terperinci kegiatan sambilan beliau," tambah beliau.
Shahrizat berkata, Anwar difahamkan bakal membawa dua peguam Perancis itu pada bulan depan untuk menemui ahli-ahli Parlimen berhubung isu pembelian kapal selam Scorpene.
Jelas beliau, gesaan itu adil agar dua peguam tersebut perlu tahu perkara-perkara yang dibangkitkan rakyat terhadap Anuar.
Ditanya sama ada Wan Azizah sedia beri kerjasama, Shahrizat berkata: "Ia terpulanglah kepada beliau".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan