KUALA LUMPUR 18 Okt. - Datuk Seri Anwar Ibrahim
dicabar menemukan Datuk S. Nallakaruppan dan isterinya, Datin Seri Wan
Azizah Wan Ismail dengan dua peguam Perancis yang bakal dibawanya ke
Malaysia supaya kegiatan sambilan beliau turut dimasukkan dalam agenda
pertemuan tersebut.
Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil
berkata, jika Anwar berpendapat pertemuan dua peguam asing itu dengan
ahli-ahli Parlimen negara penting, pertemuan bersama Nallakaruppan dan
Wan Azizah juga mustahak.
"Kalau Anwar sanggup jemput orang luar datang bagi membincangkan isu
hal ehwal negara, jadi di kesempatan ini Wanita UMNO juga menggesa
Nallakaruppan dan Wan Azizah diberi peluang berjumpa dua peguam
berkenaan.
"Selain bincang isu dalam negara, dua peguam itu juga patut
mengetahui dan mendapat maklumat mengenai kegiatan sambilan Anwar,"
katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tegas Shahrizat, gesaan dibuat kerana rakyat, termasuk akar umbi
pakatan pembangkang masih tertanya-tanya mengapa sehingga hari ini Ketua
Pembangkang itu gagal untuk menjawab persoalan berhubung isu-isu
kegiatan sambilan beliau.
"Alang-alang jemput peguam asing bincang pasal negara sendiri, elok
juga dua peguam itu diberi peluang untuk mendapatkan maklumat terperinci
kegiatan sambilan beliau," tambah beliau.
Shahrizat berkata, Anwar difahamkan bakal membawa dua peguam Perancis
itu pada bulan depan untuk menemui ahli-ahli Parlimen berhubung isu
pembelian kapal selam Scorpene.
Jelas beliau, gesaan itu adil agar dua peguam tersebut perlu tahu perkara-perkara yang dibangkitkan rakyat terhadap Anuar.
Ditanya sama ada Wan Azizah sedia beri kerjasama, Shahrizat berkata: "Ia terpulanglah kepada beliau".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan