21 Oktober 2012

Ramai taksub kepada Nik Aziz

TUMPAT 18 Okt. - Sikap taksub membuta tuli ahli Pas dan rakyat Kelantan kepada Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyebabkan tidak ada mana-mana pemimpin yang ‘diangkat’ menggantikannya.
Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa’amah berpendapat, sebenarnya Pas mempunyai ramai pemimpin yang lebih berkelayakan dari segi keilmuan dan kewarakan mereka berbanding Menteri Besar Kelantan itu.
Bagaimanapun, kata beliau, pemimpin terlibat tidak berjaya membina sifat taksub dalam kalangan ahli Pas dan rakyat Kelantan kepada mereka.
“Sebenarnya terlalu ramai yang boleh menggantikan Nik Abdul Aziz dari segi ilmu, bijaksana dan kewibawaan politik, malah ilmu mereka juga lebih baik, cuma masalahnya taksub.
“Tak ada orang lain yang orang taksub selain kepada Nik Abdul Aziz, jadi orang taksub kepada Nik Abdul Aziz bukan kerana kelebihannya tetapi kerana taksub.
“Orang Kelantan sangat taksub kepada Nik Abdul Aziz, tak tahulah taksub buta tuli, taksub semata-mata," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, sumber dalaman Pas memberitahu, Menteri Besar Kelantan itu pernah menyatakan dalam satu majlis bahawa tiada siapa dalam Pas yang layak menggantikan beliau untuk memegang jawatan Mursyidul Am.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Muslim Othman menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai ‘terlajak cakap’ dan berpendapat, ramai termasuk ulama muda Pas yang layak diketengahkan dalam saf kepimpinan parti itu.
Dalam pada itu, Abdullah menyifatkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa sebagai jahil apabila menyifatkan DAP lebih baik daripada UMNO.
“Dakwaan yang mengatakan DAP lebih baik daripada UMNO itu jahil yang amat sangat, tidak berasas sama sekali, bahkan itu boleh sebabkan kekeliruan dan rosak akidah," katanya.

Tiada ulasan: