LUMUT 18 Okt. - Tindakan pembangkang yang
berterusan mempolitikkan pembelian dua kapal selam Scorpene termasuk
menabur fitnah kononnya, aset tersebut tidak boleh menyelam menghina
kewibawaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) secara langsung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerajaan dan
seluruh warga TLDM mengetahui kapal selam itu bukan sahaja boleh
menyelam tetapi merupakan antara kapal selam konvensional terbaik di
dunia dari aspek kemampuannya.
Berucap di hadapan kira-kira 8,000 anggota dan pegawai TLDM dalam
Majlis Mesra Warga TLDM Bersama Perdana Menteri di sini, Najib berkata,
isu tersebut tidak wajar terus dipolitikkan kerana sudah banyak
penjelasan dilakukan sebelum ini.
"Ini bukan sesuatu yang terlalu sulit, tetapi boleh saya sebut
seperti yang kita semua tahu kapal itu boleh menembak peluru berpandu
sewaktu berada di bawah permukaan laut dan kita telah pun cuba perkara
ini. Peluru berpandu yang ditembak memang boleh kena sasarannya.
"Kita tidak buat keputusan membeli dengan sewenang-wenangnya tetapi
malangnya ia dijadikan bahan politik yang secara tidak langsung menghina
kewibawaan TLDM. Ini kerana TLDM sendiri bersetuju pembelian kapal itu
kena pada tempatnya," katanya.
Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.
Kadir; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Panglima
Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Armada TLDM, Datuk
Abd. Hadi A. Rashid.
Najib berkata, selain penjelasan demi penjelasan berhubung isu itu
kerajaan juga menjemput pemimpin pembangkang termasuk Setiausaha Agung
DAP, Lim Guan Eng merasai sendiri pengalaman menyelam dengan kapal selam
Scorpene.
"Apabila Guan Eng tengok kapal selam itu boleh timbul, cerita kapal
selam tidak boleh menyelam sudah tidak jadi modal. Selepas itu, dia kata
pula terlalu mahal tetapi sebenarnya syarikat yang jual itu milik
kerajaan Perancis.
"Mereka punya harga standard. Mana-mana negara itulah harganya.
Mereka tidak boleh kenakan harga lebih daripada itu. Tapi masih banyak
dakwaan yang cuba dijadikan bahan politik kerana maklum sahaja apabila
sudah dekat musimnya (pilihan raya)," katanya.
Najib berkata, pembelian kapal selam itu bukan dibuat dalam tempoh
singkat tetapi dengan penuh teliti selepas 30 tahun diminta TLDM.
Dalam pada itu, Najib berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
merupakan institusi yang amat penting dan perlu terus diperkuatkan dari
semua dimensi.
Menurut beliau, jasa ATM kepada negara terlalu besar dan terbaharu
menerusi peranan yang dimainkan sehingga termeterainya perjanjian damai
antara kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).
"Kesannya amat besar. Konflik selama 40 tahun berakhir. Kawasan
tersebut boleh dimajukan, Bangsamoro dapat mengembalikan maruah mereka
dan mereka juga dapat menempa masa depan yang jauh lebih baik," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan