Pages

14 Oktober 2012

DAP perlukan Pas untuk sokongan Melayu

PULAU PINANG 12 Okt. - ‘‘Bukan Pas yang perlukan DAP tetapi DAP yang memerlukan Pas bagi mendapat undi orang Melayu.’’
Demikian tegas Sasterawan Negara Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad (gambar) ketika mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menyatakan parti itu akan terus bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
Jelas Shahnon, perjuangan politik Pas perlu kembali kepada landasan utama iaitu menegakkan sebuah negara Islam serta melaksanakan hukum hudud di negara ini.
“Oleh itu, jika DAP mahu bekerjasama dengan Pas, mereka harus menerima perjuangan Pas untuk membentuk sebuah negara Islam dan Islam jugalah penentu segala keputusan.
“Pada masa sama kepimpinan Pas harus kembali kepada golongan ulama dan menolak kumpulan yang menggalakkan sekularisme di dalam parti itu," katanya yang juga ahli Pas seumur hidup ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Gelugor, di sini hari ini.
Semalam Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, Pas hanya akan memenangi pilihan raya jika meneruskan kerjasama itu kerana memerlukan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Shahnon menambah, jika Pas boleh bekerjasama dengan DAP, maka tidak mustahil satu permuafakatan juga boleh diadakan dengan UMNO bagi mencari titik persamaan antara kedua-dua parti untuk orang Melayu Islam itu.
“Jadi kena selalu adakan mesyuarat dan pertemuan antara kedua-dua parti agar titik persamaan untuk membentuk negara Islam yang dihasratkan itu menjadi kenyataan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan