Beberapa pemimpin Pas secara tiba-tiba memberikan reaksi yang cukup
keras terhadap kenyataan bekas Timbalan Presiden parti itu, Nasharudin
Mat Isa yang menyentuh tentang agenda DAP dan membidas pemimpin-pemimpin
Islam yang sanggup mengetepikan kepentingan agama demi kuasa.
Apa yang menghairankan ketika menyampaikan hujahnya dalam Seminar
Dakwah Nasional baru-baru ini, Ahli Parlimen Bachok itu langsung tidak
menujukan kenyataan beliau kepada pemimpin UMNO atau Pas.
Sebaliknya apa yang beliau bentangkan adalah tasawwur umum tentang
konsep dakwah dan siasah serta beberapa kemelut yang sedang dihadapi
oleh umat Islam di Malaysia dalam hal yang berkaitan dengan politik.
Namun kenyataan Nasharudin tidak dilihat sebagai satu pandangan
daripada seorang pendakwah yang bertanggungjawab untuk mempertahankan
agama Islam dengan apa cara sekali pun, sebaliknya sesetengah pemimpin
Pas melihat dari sudut politik semata-mata.
Mereka bimbang kenyataan Nasharudin akan menyebabkan DAP terasa dan
ini sekali gus boleh menjejaskan impian politik Pas untuk memburu kuasa
bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebab itulah kita saksikan tidak ramai pemimpin-pemimpin Pas
menyokong kenyataan Timbalan Mursyidul Am parti, Datuk Harun Din yang
memberi pandangan berhubung tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar
Ibrahim melancarkan buku yang ditulis oleh bekas Ahli Parlimen India
berfahaman liberal, Mobashar Jawed Akbar.
Mobashar secara terbuka meremehkan peranan Islam dalam pembentukan
sesebuah negara sedangkan inilah perjuangan Pas, namun pemimpin-pemimpin
Pas masih dilihat sanggup bertolak ansur kerana bimbang menyinggung
perasaan Anwar kalau mereka mengkritik Mobashar.
Begitu juga dalam isu kenyataan Nasharudin, biar pun beliau tidak
menyebut mana-mana parti tetapi ada pemimpin Pas yang mengulas panjang
lebar untuk mempertegaskan Pas tidak pernah tergelincir daripada
landasan perjuangannya.
Menuduh
Sebaliknya pemimpin itu menyifatkan orang yang menuduh Pas
tergelincir sekarang sedang menjerit-jerit untuk mendapatkan pertolongan
daripada UMNO.
Dalam hujahnya, pemimpin berkenaan turut menyentuh tiga fasal dalam
Perlembagaan termasuk fasal 3 yang menyatakan dasar Pas ialah Islam.
Hujah pemimpin berkenaan, Islam yang diperjuangkan oleh Pas ialah
Islam yang lengkap, merangkumi semua perkara sama ada ibadah, politik,
ekonomi, akhlak. Dalam erti kata lain yang merangkumi urusan hidup dan
mati.
Beliau juga menyentuh fasal 5 (1) berkaitan tujuan Pas untuk
memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan
pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya menuju keredaan Allah.
Malahan beliau juga merujuk kepada fasal 7 yang menyatakan sumber
rujukan tertinggi yang menjadi hukum dan kekuasaan Pas ialah al-Quran,
Sunnah, Ijmak dan Qias.
Pemimpin berkenaan cuba mempertegaskan bahawa Pas tidak menggadaikan
prinsipnya dalam memburu kuasa dan menganggap tuduhan Pas mengutamakan
kuasa sehingga mengenepikan Islam suatu tuduhan yang tidak betul.
''Memang betul dalam Perlembagaan Pas mencatatkan itu semua, tetapi
dari segi realitinya apakah parti tersebut benar-benar mematuhi semua
yang termaktub dalam perlembagaannya.
''Kita bukan bercakap soal Perlembagaan tetapi realiti dari segi
pelaksanaan dan perjalanan parti, itu yang sepatutnya difahami pemimpin
berkenaan,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi penulis.
Persoalannya bagaimana pula dengan kenyataan Mursyidul Am Pas Datuk
Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menegaskan, Pas akan terus bekerjasama
dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang
biar pun dibantah oleh ahli-ahli di peringkat umbi. Tidakkah ini
membuktikan memburu kuasa menjadi matlamat utama Pas?
Kalau benar Pas memerlukan kuasa untuk menghayati Islam yang syumul
seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW, Nik Abdul Aziz tidak akan
mempertahankan kerjasama dengan DAP kerana semua orang tahu bagaimana
gangguan DAP terhadap perjuangan Islam Pas.
Oleh itu tidak perlulah mana-mana pemimpin Pas hendak berdolak-dalih
untuk 'menghalalkan' kerjasama berkenaan dan sekali gus berusaha menutup
keghairahan parti itu memburu kuasa sehingga sanggup menggadaikan
prinsip perjuangan sendiri.
Jika Pas memegang teguh prinsip perjuangan Islamnya, kenapakah Pas
masih rela bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak hukum
hudud dan berpayung di bawah pemimpin-pemimpin PKR yang ada antara
mereka menyokong fahaman liberalisme.
Mengaburi
Tidak usahlah hendak mengaburi ahli di peringkat akar umbi dan
penyokong parti itu dengan menyatakan segala keputusan yang Pas hendak
laksanakan seperti tahaluf siyasi diputus dan dikaji oleh Majlis Syura
yang mampu menekuni segala permasalahan hukum berdasarkan sumber
al-Quran, hadis, ijmak dan qias serta segala keputusan yang dibuat
berdasarkan kepada dosa dan pahala, syurga dan neraka.
Kalau itu hujahnya, kenapakah masih mahu bekerjasama dengan DAP?
Apakah kalau betul pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya nanti,
Pas akan diberi kuasa sebebas-bebasnya untuk melaksanakan pemerintahan
Islam?
Penulis akui dalam Pas, kelompok yang benar-benar ikhlas untuk
meneruskan perjuangan Islam dalam Pas hanyalah golongan ulama, tetapi
semua orang tahu sejauh mana kekuatan golongan berkenaan untuk bersuara.
Memang benar tahaluf siyasi yang dilakukan oleh Pas dengan PKR dan
DAP diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tetapi sekarang sudah jelas
kerjasama berkenaan lebih banyak merugikan parti itu.
Jika mereka ikhlas hendak memastikan Pas terus memperjuangkan Islam,
mereka sepatutnya menggesa majlis itu mengkaji semula hubungan dengan
DAP dan PKR supaya cara berpolitik Pas adalah berlandaskan kepada dosa
dan pahala, syurga dan neraka.
Kalau itu mereka tidak mahu lakukan jelaslah, Pas sememangnya sedang
ghairah memburu kuasa bersama-sama DAP dan PKR sehingga sanggup
menggadaikan segala-galanya hatta prinsip perjuangan sendiri.
Tidak salah untuk Pas berkawan dengan sesiapa sahaja tetapi biarlah
hubungan itu mendatangkan keuntungan bukan sahaja kepada parti itu
tetapi juga umat Islam secara keseluruhannya.
Pemimpin-pemimpin Pas sudah pasti memahami sabda Rasulullah SAW dalam
sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari sahabat
Abu Musa. Baginda bersabda:
"Permisalan teman yang baik dan teman yang jelek seperti
(berteman) dengan pembawa minyak wangi dan tukang pandai besi. Dan
adapun (berteman) dengan pembawa minyak wangi kemungkinan dia akan
memberimu, kemungkinan engkau membelinya, atau kemungkinan engkau
mencium bau yang harum. Dan (berteman) dengan tukang pandai besi
kemungkinan dia akan membakar pakaianmu atau engkau mendapatkan bau yang
tidak enak."
Dan dalam soal ini, semua orang tahu siapa kawan karib Pas dan apa sudah terjadi dengan parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan