SELAMA hampir lima tahun ini, pemberian air percuma di Selangor
sentiasa disebut dan dijaja oleh pakatan pembangkang. Kerajaan Parti
Keadilan Rakyat Selangor pula sentiasa menjulang pemberian itu sebagai
hadiah luar biasa kepada rakyat.
Tetapi kini, setelah penggal lima tahun memerintah Selangor hampir
tamat, buah tangan yang diagung-agungkan tiada taranya itu tidak juga
dapat diagihkan sama rata kepada rakyat Selangor.
Ada kelompok rakyat yang disisihkan dan jumlahnya banyak. Yang
disisihkan itu pula adalah rakyat kecil - penghuni flat - kumpulan yang
selalu mereka angkat untuk diperjuangkan nasibnya.
Tuntutan rakyat kecil ini mudah, iaitu layanan secara adil dan
saksama terhadap janji air percuma 20 meter padu yang bernilai RM11.40
yang dimeterai dengan rakyat dalam manifesto Pilihan Raya 2008. Yang
anehnya, sebelum ini pun kerajaan negeri menentang usaha Syabas bersama
NGO untuk membantu membayarkan bil penduduk yang telah dinafikan haknya
itu.
Akhirnya, kerana kecewa, permintaan dan tuntutan tidak diendahkan
oleh kerajaan negeri berslogan merakyatkan ekonomi negeri itu, kumpulan
rakyat kecil ini mengambil tindakan mahkamah. Jumaat lalu, kumpulan
ketiga seramai 1,515 orang iaitu pengguna meter pukal menfailkan saman
kepada kerajaan negeri menuntut layanan adil sebagaimana dinikmati oleh
pengguna meter individu.
Bukanlah besar sangat permintaan kumpulan rakyat Selangor ini. Jika
dinilai dengan ringgit, hanya RM863,550, iaitu jumlah bil yang mereka
bayar dari Jun 2008 hingga September 2012.
Hal sekecil ini pun tidak mampu mereka uruskan, bagaimana mungkin
rakyat mahu percaya dengan janji bonus kepada warga emas, pengurangan
subsidi, penghapusan tol dan penghapusan hutang Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang melibatkan peruntukan berbilion
ringgit dalam bajet bayangan mereka?
Apakah alasan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dalam menangani tuntutan rakyat kecil ini? Begitu mudah alasan beliau -
manifesto yang menjanjikan air percuma itu 'bukan satu perjanjian'.
Jadi, ia tidak perlu ditunaikan, malah beliau enggan melayan tuntutan
itu dengan tidak memberikan ruang perundingan.
Beliau lebih rela melawan penduduk di mahkamah. Tidak terbayang
rasanya gempak gempita para politikus dan NGO pembangkang jika sikap dan
cara layanan memutarbelitkan janji itu dilakukan oleh pemimpin Barisan
Nasional.
Mungkin sudah begitu cara mereka bekerja, melayan rakyat sama seperti
cara mereka melawan parti lawan. Setiap rakyat yang bangkit menyatakan
rasa tidak puas hati akan segera dicap sebagai penentang, walhal mereka
hanya menuntut keadilan. Di manakah janji mereka untuk membela rakyat
khususnya yang tertindas, dizalimi dan tidak berkemampuan?
Menempelak
Inilah juga yang ditunjukkan oleh pentadbiran tertinggi kerajaan
negeri Selangor yang menempelak tuntutan penghuni rumah flat untuk
menyelesaikan hutang tertunggak mereka. Hal yang melibatkan keluh-kesah
rakyat kecil ini sepatutnya diberikan perhatian dan diselesaikan secara
rundingan.
Tetapi apakan daya, kerajaan negeri Selangor sudah tersepit dengan
permainan promosi mereka sendiri. Mereka sendiri yang bermegah-megah
kononnya dapat mengambil alih hutang Talam Corporation Bhd. yang
berjumlah berjuta-juta ringgit itu.
Bagi rakyat kecil ini, mereka ada hak membuat tuntutan memandangkan
kerajaan negeri telah menggunakan dana berjuta-juta ringgit untuk
mengambil alih hutang Talam. Jika hutang Talam boleh diselesaikan,
mengapa tidak hutang mereka?
Bukankah politikus pakatan pembangkang sebelum ini yang
berdegar-degar mahu membela rakyat kecil dan menentang penyelamatan
syarikat besar yang dimiliki oleh orang kaya?
Siapakah juga yang mengajar rakyat supaya jangan membayar hutang
seperti yang mereka perjuangkan dalam isu PTPTN? Mengapa dalam hal ini
mereka bukan sahaja cuba melarikan diri, tetapi menentang tuntutan
penduduk.
Sekali lagi, kerajaan negeri bersikap tidak memihak kepada rakyat
kecil malah Menteri Besarnya memperlekeh kumpulan itu. Penghuni yang
tidak mampu membayar hutang kata Abdul Khalid, boleh meminta bantuan
zakat.
Bagi pemimpin pakatan pembangkang ini, sentiasa ada alasan untuk
mempertahan tindakan mereka walaupun sehingga terpaksa melawan rakyat
kecil. Mereka akan terus bersikap lepas tangan. Mereka akan terus dengan
sikap tidak mahu bertanggungjawab. Buktinya sudah banyak di depan mata
kita.
Sekadar memberi satu lagi contoh tentang janji gaji minimum RM1,100
oleh pakatan pembangkang. Sekarang ini pun ekoran ketidakpastian ekonomi
global dan dasar gaji minimum RM900 yang bakal dikuatkuasakan awal
tahun depan, telah memberi kesan kepada sektor industri negara.
Menurut laporan yang memetik Institut Penyelidikan RHB, seramai 4,609
pekerja telah diberhentikan pada Ogos berbanding dengan pengambilan 441
pekerja pada Julai. Alasannya menurut laporan itu, ialah kelemahan
ekonomi global dan diburukkan lagi oleh pelaksanaan dasar gaji minimum
awal tahun 2013.
Kerana nafsu mahu lebih baik daripada kerajaan BN, pakatan
pembangkang dalam langkah terburu-buru memancing undi sanggup
memperjudikan nasib berjuta-juta tenaga kerja tempatan.
Bayangkan apa akan berlaku jika gaji minimum unjuran pembangkang itu
dilaksanakan. Mungkin pembuangan pekerja tidak lagi dapat dikawal
seperti sekarang selain sudah tentu menguntungkan pekerja asing yang
jumlahnya kini lebih 2 juta orang.
Tentu kita boleh agak jawapan mereka. Hal itu berlaku kerana masalah
ekonomi global yang tidak boleh dikawal atau pakatan pembangkang akan
berkata, mereka yang dibuang kerja boleh memohon bantuan wang zakat.
Atau yang lebih mudah, janji dalam bajet bayangan tidak semestinya
ditunaikan kerana perkara itu hanya cadangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan