Haron Din
*****
KUALA LUMPUR 13 Okt. - Bekas Naib Presiden Pas, Datuk Dr. Hasan Ali
meminta Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan
jawatan itu kepada Timbalannya, Datuk Haron Din demi menjaga keutuhan
parti tersebut.
Katanya, sudah sampai masanya Nik Abdul Aziz memikirkan untuk
menyerahkan tanggungjawab besar itu kepada Haron bagi menjamin martabat
Pas sebagai penjaga kepada perjuangan Islam.
"Sebelum nasi menjadi bubur, Nik Abdul Aziz wajar memikirkan untuk
menyerahkan tanggungjawab besar sebagai Mursyidul Am kepada timbalannya
yang saya yakin mempunyai kemampuan dan kewibawaan setara dengan
beliau,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Presiden Jati mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz
bahawa Pas tetap akan bekerjasama dengan DAP demi mencapai kejayaan
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 meskipun mendapat tentangan daripada ahli
Pas di peringkat akar umbi.
Hasan berkata, Nik Abdul Aziz perlu bermuhasabah tentang kehadiran beliau dalam hierarki kepimpinan Pas.
"Sama ada (kehadiran itu) benar-benar menguntung atau merugikan bukan
sahaja kepada Pas tetapi yang lebih penting imej, kehebatan dan
keagungan Islam," katanya.
Beliau menegaskan, kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa DAP tidak pernah
mengganggu Pas dan merupakan rakan kongsi yang akan menjamin kemenangan
Pas dalam pilihan raya umum akan datang agak keterlaluan.
"Lupakah Nik Aziz dan orang-orang di sekeliling beliau bahawa Nik
Aziz pernah beberapa kali menyanggah pendirian Pengerusi DAP, Karpal
Singh dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berterusan menghina dan
menentang perjuangan Pas untuk melaksanakan hudud?
"Kita tidak lupa, beliau juga pernah menyebut akan meneruskan hudud
di Kelantan dalam keadaan apa pun yang didatangkan oleh DAP,'' tegasnya.
Hasan berkata, kedua-dua kenyataan terakhir Nik Aziz berhubung kerjasama dengan DAP mempunyai dua implikasi besar.
Pertamanya, jelas beliau, kenyataan tersebut akan mengguris hati dan
perasaan ahli serta penyokong Pas yang sudah tidak mampu menahan
perasaan sabar akibat daripada bertambah berani dan ghairahnya pimpinan
DAP menghina Islam.
"Kedua, saya bimbang kenyataan itu akan menjadikan pimpinan DAP dan
sebahagian pimpinan Pas yang merupakan golongan parasit menjadi lebih
ganas menghentam Islam serta perjuangan Pas disebabkan 'peluru' yang
disediakan oleh Nik Aziz sendiri,'' ujarnya.
Menurut beliau, seperti yang diketahui Nik Aziz mempunyai kedudukan
istimewa di dalam Pas dan bagi kebanyakan ahli serta penyokong Pas,
mereka menganggap Mursyidul Am Pas itu adalah segala-galanya.
"Kedudukan yang sedemikian bagi saya adalah pemberian Allah kepada beliau.
"Setiap satu kedudukan termasuk dirinya sebagai hamba Allah mempunyai
tanggungjawab yang begitu besar bukan sahaja dalam kalangan ahli dan
penyokong Pas tetapi yang lebih penting di sisi Allah SWT," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan