Pages

17 Oktober 2012

'Hanya kerja keras peluang berjaya'

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat beramah mesra dengan sebahagian daripada 260 orang penjaja selepas sesi bergambar kenangan bersama mereka pada majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama Penjaja Kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Seri Perdana di sini, hari ini. - Foto BERNAMA  
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak sempat beramah mesra dengan sebahagian daripada 260 orang penjaja selepas sesi bergambar kenangan bersama mereka pada majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama Penjaja Kawasan Majlis Bandaraya Kuching Selatan di Seri Perdana di sini, hari ini. - Foto BERNAMA
*****
Putrajaya: Sebaik tiba di tanah air dari Manila, Datuk Seri Najib Razak bergegas ke Seri Perdana untuk menerima kunjungan kumpulan penjaja dari kawasan Kuching Selatan, Sarawak.

Perdana Menteri meluangkan masa menghadiri dan berucap pada majlis jamuan tengah hari dengan 260 anggota komuniti penjaja itu sebelum ke ibu negara untuk pelancaran inisiatif Peluang Perniagaan Inovasi oleh Agensi Inovasi Malaysia di bangunan Parlimen.
“Saya yakin bagi kalangan penjaja, kalangan peniaga seperti anda, tiada perkara lain selain kerja keras. Jika kita bersedia untuk bekerja keras, peluang untuk berjaya lebih tinggi. Saya amat percaya sebagai rakyat Malaysia, jika kita mahu mencapai wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara maju, maka kita semua mesti bekerja keras,” katanya ketika berucap di Seri Perdana.

Beliau berkata, ketika di Filipina, beliau menerima layanan cukup istimewa kerajaan negara itu kerana Malaysia dilihat berjaya menjalankan peranan besar lagi penting, untuk mendamaikan kawasan di selatan Filipina.

“Ketika ini imej Malaysia amat baik di Filipina, yang menunjukkan bahawa kerajaan sedang bekerja keras bagi meningkatkan lagi imej negara di peringkat antarabangsa, mahupun serantau,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Kewangan Kedua Sarawak yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Negeri Datuk Seri Wong Soon Koh, dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan Datuk James Chan Khay Syn. - BERNAMA 
/hwa: bharian.com.my | 17/10/12

Tiada ulasan:

Catat Ulasan