Pages

14 Oktober 2012

Pas, DAP tetap bekerjasama

KOTA BHARU 11 Okt. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menegaskan parti itu akan terus bekerjasama dengan DAP untuk mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 walaupun mendapat tentangan daripada ahli akar umbi.
Beliau berkata, Pas hanya akan memenangi pilihan raya jika meneruskan kerjasama itu kerana memerlukan sokongan daripada pengundi bukan Melayu.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan menjelaskan tidak tahu kenapa ramai ahli Pas yang mendakwa perjuangan parti itu sudah tersasar dan meminta mereka memberi penjelasan.
Katanya, DAP tidak pernah menganggu Pas sejak kerjasama antara kedua-dua parti terjalin sebaliknya masalah tersebut hanya mainan media milik UMNO.
"Saya pun tidak tahu mengapa tersasar, dia tidak sebut kenapa kita beralah dengan DAP, keduanya saya tidak nampak DAP ganggu kita.
"Masalahnya ialah orang-orang Pas tengok televisyen, dengar radio dan baca surat khabar UMNO jadi terbawa-bawa. Oleh yang demikian saya nasihat orang Pas boleh baca surat khabar UMNO tapi kena ada jawapanlah," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Saidina Ali di Kok Lanas di sini hari ini.
Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Sasterawan Negara Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad bahawa perjuangan politik Pas tidak lagi menepati kehendak Islam sejak parti itu bekerjasama dengan DAP.
Shahnon yang juga ahli Pas seumur hidup berkata, adalah sangat menyedihkan kerana kerjasama Pas dengan DAP itu bukan seperti yang diharapkan dan ia bercanggah dengan pendekatan yang diambil Rasulullah SAW ketika memerintah dan bekerjasama dengan golongan bukan Islam.
Sebelum ini masyarakat Islam termasuk ahli-ahli Pas sendiri tidak berpuas hati dengan tindakan parti itu bekerjasama dengan DAP.
Keadaan itu disebabkan mereka melihat Pas hanya menjadi 'pak turut' dan sentiasa tunduk kepada kehendak DAP termasuklah dalam soal perjuangan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan oleh Pas.
Sementara itu, ketika ditanya wartawan adakah kenyatan beliau tersebut bermaksud Pas akan meneruskan dasar untuk bekerjasama dengan DAP sampai bila-bila Nik Abdul Aziz berkata:
"Saya rasa pelik ada sebut kemenangan kita sekarang ini menumpang DAP. Saya mahu tanya balik bila kemenangan yang tidak menumpang malah masa nabi sampai Madinah baginda buat perjanjian dengan Yahudi.
"Jadi tidak ada kemenangan yang tidak menumpang orang lain. Lebih-lebih lagi sekarang kita guna sistem pilihan raya nak undi Cina nak undi India," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan