Pages

14 Oktober 2012

Hanya orang tidak siuman tolak ajakan ke arah perpaduan, persepakatan

TAN Sri Prof. Dr. Kamal Hassan merupakan sarjana yang saya kenali selama ini melalui penulisan artikel-artikel beliau yang ilmiah menyentuh isu-isu pendidikan dan dakwah Islam. Bagaimanapun, ini merupakan kali pertama saya membaca sajak beliau, kerana sememangnya beliau dikenali sebagai ahli akademik, bukan penyajak.
Pada hemat saya, jika seorang ahli akademik sudah beralih selera untuk bersajak pula, bermakna mesej yang ingin disampaikan beliau sudah tentu amat menyentuh dan penuh dengan isu tersirat.
Ternyata mesej yang dibawa oleh sajak beliau merupakan intipati mesej yang saya selalu sampaikan selama ini dalam pelbagai wacana. Sajak beliau mengandungi mesej mengenai perpecahan umat Melayu kerana merebut kuasa melalui politik kepartian yang sudah sampai ke tahap tidak munasabah, sehingga mampu menggadaikan tanah watan sendiri yang beliau ungkapkan sebagai tidak siuman.
Ini kerana hanya orang yang tidak siuman sahaja yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan umat Islam keseluruhannya. Hanya orang tidak siuman yang sanggup menggadaikan kuasa politik umat Islam semata-mata kerana mahukan beberapa buah kerusi. Hanya orang tidak siuman yang menolak ajakan berkali-kali ke arah perpaduan dan persepakatan.
Negara kita mengamalkan sistem demokrasi berparlimen, yang memberikan kuasa penuh membentuk kerajaan memerintah kepada pihak yang menang majoriti mudah. Sistem ini tidak mendatangkan apa-apa masalah sejak pertama kali ia dilaksanakan pada 1955, kerana walaupun berlaku pergeseran dan perbezaan pendapat politik, kuasa majoriti masih di tangan orang Melayu. Namun Pilihan Raya 2008 memperlihatkan perpecahan orang Melayu kepada tiga kelompok utama. Fenomena perpecahan ini menjadikan orang Melayu kelompok minoriti yang tidak dapat bersepakat dalam isu-isu kepentingan bersama.
Berlatar belakang perpecahan politik, ditambah dengan semangat ketaksuban politik kepartian yang melampau, perebutan kerusi untuk menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang dilihat amat sengit dan membimbangkan. Ini kerana wujudnya pihak yang sanggup melakukan apa sahaja untuk menang, termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi negara asing, yang sanggup memberikan bantuan dana dan latihan demi menjaga kepentingan pengaruh mereka di rantau ini.
Kamal dalam rangkap kedua sajaknya menekankan peri penting umat Melayu berpegang kuat pada ajaran Islam dan mengukuhkan kembali perpaduan dan kesatuan, sebagaimana yang dianjurkan oleh ayat 103 dalam Surah Ali Imran. Bagaimanapun, umat Islam pada hari ini bukan sahaja berpecah, bahkan lebih buruk lagi apabila mereka mengukuhkan persekutuan dengan orang lain sehingga menjejaskan kekuatan politik orang Melayu itu sendiri. Sesungguhnya al-Quran telah memberikan panduan jelas dan nyata untuk sesiapa yang mahu mencari petunjuk dan menghindari jalan yang sesat.
Di sini saya ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kita semua pada amaran Allah SWT berkaitan hubungan dengan pihak-pihak luar di waktu perpecahan, sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang yang bukan daripada kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya." (Ali Imran: 118)
Pelbagai kenyataan dan pendirian mereka yang anti Islam dan Melayu telah kita saksikan. Bahkan sejak akhir-akhir ini perlakuan provokasi terhadap status quo kenegaraan kita dilakukan secara terang-terangan, bermula dengan mempersoalkan kedudukan orang Melayu sebagai penduduk asal, menyanggah cita-cita pelaksanaan hukum syarak, sehinggalah menjadikan bendera dan gambar pemimpin negara sebagai sasaran.
Sudah terang lagi bersuluh sikap serta pendirian mereka yang sebenar. Bagaimanapun, atas dasar kepentingan politik berpuak antara orang Melayu, golongan ini seolah-olah mendapat perlindungan daripada sekutu Melayu mereka. Bahana bersekutu dengan orang lain kerana ketamakan merebut kuasa bukan satu perkara baru, atau semata-mata suatu jangkaan kosong.
Bahkan amaran keras ayat di atas telah terbukti dalam lipatan sejarah. Perebutan kuasa yang akhirnya membuka jalan kepada campur tangan asing dalam urusan dan hala tuju negara merupakan faktor utama bermulanya era penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Detik penjajahan itu bermula apabila Raja Muda Abdullah, yang bersengketa dengan Raja Bendahara Ismail dalam hal merebut tahta kerajaan Perak, telah bertindak bersekutu dengan Inggeris.
Melalui Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, Inggeris mengiktiraf Raja Muda Abdullah sebagai Sultan Perak yang sah bagi menggantikan Sultan Ismail. Manakala Sultan Ismail diberikan gelaran Sultan Muda dan diberi pencen $1,000 sebulan serta sebuah jajahan tadbir kecil. Sebagai ganti bagi pengiktirafan itu, Sultan Abdullah bersedia menerima seorang Residen British sebagai penasihat. Nasihat Residen mesti diminta dan dipatuhi dalam semua perkara, kecuali hal-hal berkaitan agama Islam dan adat istiadat Melayu.
Sebelum itu, pada 1819, Raffles menggunakan isu perebutan kuasa juga untuk menguasai Singapura. Raffles memperalatkan Tengku Hussein yang kecewa kerana tidak ditabal sebagai Sultan Johor. Perjanjian antara Raffles dengan Tengku Abdul Rahman yang membawa kepada bertapaknya British di Singapura, yang asalnya tidak diiktiraf oleh Sultan Abdul Rahman, akhirnya berjaya mendapat pengiktirafan daripada sultan kedua, Sultan Hussein.
Peristiwa di atas hanyalah sebagai contoh jelas, daripada pelbagai kisah sejarah hitam akibat tindakan merebut kuasa yang terkeluar daripada batas-batas sempadan yang menjaga kedaulatan watan. Apabila perebutan sampai ke tahap menghalalkan cara, maka tanah air menjadi gadaiannya.
Keadaan perpecahan ini diburukkan dengan fenomena majoriti anak-anak muda yang mula hilang jati diri sebagai muslim sejati. Sistem pendidikan Islam yang kurang berkesan dan pengaruh media baru yang amat kuat, memberi laluan tanpa sempadan kepada pengaruh cara hidup Barat yang songsang mempengaruhi pemikiran dan gaya hidup anak-anak muda kita.
Kamal dalam rangkap kelima sajaknya, menyeru agar orang Melayu berpegang kuat pada tujuan hidup mengabdikan diri hanya kepada Allah, sebagaimana yang ditegaskan oleh ayat 162 daripada Surah al-An'am. Sememangnya hal ini merupakan titik tolak kepada penyelesaian segala permasalahan yang dihadapi oleh umat pada hari ini. Niat dan tujuan merupakan unsur penentu kejayaan dalam mana-mana usaha pembangunan dan kemajuan bangsa. Tidaklah bangsa Melayu sampai ke tahap perpecahan yang memalukan pada hari ini melainkan kerana faktor hawa nafsu, yang menjadikan harta, pangkat dan nama sebagai matlamat perjuangan.
Faktor hawa nafsu yang dijadikan sebagai matlamat perjuangan ini telah sampai ke tahap yang memualkan, apabila saban hari kita dihidangkan dengan berita-berita pertikaian ahli-ahli politik yang mempolitikkan semua isu. Sudah hilang pertimbangan rasional dan semangat meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya.
Masih belum terlambat bagi umat Islam, khususnya orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti, untuk insaf dengan suasana percakaran politik hari ini yang tidak menguntungkan mana-mana pihak, bahkan meletakkan masa depan Islam di tanah air tercinta ini ke dalam genggaman musuh.
Hanya persepakatan sahaja jawapan bagi kemelut yang melanda. Orang Melayu mesti bersepakat, jika mereka mahu melihat Islam kekal berdaulat. Melayu sepakat, Islam berdaulat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan