SEMINAR Dakwah Nasional baru-baru ini memutuskan tiga resolusi yang
memerlukan tindakan segera bagi membendung umat Islam di Malaysia terus
terjebak dengan pelbagai dakyah dan tribulasi pemikiran sehingga boleh
menyebabkan kehidupan beragama sebagai satu pilihan peribadi dan
bersifat personal.
Resolusi pertama berkaitan menularnya pelbagai aliran pemikiran dan
falsafah yang bercanggah dengan akidah Islam antaranya fahaman Syiah,
falsafah liberalisme dan pluralisme agama, falsafah kebebasan mutlak dan
rasionalisme tanpa batas. Aliran pemikiran itu boleh mengakibatkan
keyakinan terhadap agama akan berubah, kerana fahaman tersebut membawa
kepada persoalan rasionalisme tanpa had dan kemunasabahan yang mujarad.
Resolusi kedua memperkukuhkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi
negara manakala resolusi ketiga ialah dakwah sebagai tonggak kekuatan
ummah.
Bagi menjamin kedudukan Islam sebagai agama rasmi tidak menjadi
"ketegangan politik dan kepentingan", setiap rakyat bertanggungjawab
untuk tidak mengeluarkan pelbagai komen yang boleh mencetuskan
kekeliruan, semua pihak berusaha memperkasakannya dengan mengambil
inisiatif memelihara dan melaksanakan dasar yang selaras dengan prinsip
Islam dan kedudukannya sebagai agama rasmi Persekutuan.
Bagi menggerakkan resolusi ketiga, semua pihak dari agensi kerajaan
hinggalah pertubuhan bukan kerajaan perlu melaksanakan dakwah secara
bersepadu dengan mewujudkan sebuah urus setia dakwah dan membentuk
kurikulum dan modul dakwah di samping menubuhkan sebuah badan bagi
mengumpulkan semua ulama menerusi Majlis Ulama Kebangsaan.
Antara ketiga resolusi, resolusi pertama merupakan keputusan yang
amat sukar dilaksanakan kerana ia melibatkan pemugaran pemikiran umat
Islam daripada sebarang fahaman dan falsafah yang sentiasa diperbaharui
oleh banyak pihak, termasuk cendekiawan Islam sendiri hasil ketakjuban
mereka kepada pemikiran ilmiah yang dikembangkan oleh Barat. Pada
hakikatnya, pemugaran pemikiran mempunyai asas kukuh dalam lintas
sejarah Islam itu sendiri.
Pengamat Islam terkenal, John L Esposito pernah menyebut bahawa zaman
kegemilangan dan kejayaan Islam terakam pada era Abbasiyah di mana
rakyat dan umat Islam terbiasa dihidangkan oleh pelbagai macam pemikiran
dan keilmuan yang terhasil daripada karya-karya kaum cerdik pandai dan
kaum intelektual. Dengan adanya budaya cinta ilmu inilah, masyarakat
Islam pada era itu banyak menyumbangkan idea dan gagasan kemajuan yang
kemudiannya dicedok oleh ilmuan Barat.
Pertembungan pemikiran rasionalisme yang berasal daripada falsafah
pemikiran Yunani itu sebenarnya diperkemaskan menerusi penemuan-penemuan
baharu berdasarkan penyelidikan dan penciptaan pengetahuan yang
memisahkan falsafah agama. Bahasan pemikiran yang bersifat rasional itu
kemudiannya berkembang menjadi falsafah pemikiran sekular yang menolak
agama kerana agama dilihat sebagai faktor yang tidak menyumbang kepada
perubahan dan kemajuan.
Falsafah itu kemudiannya cuba digunakan sebagai senjata untuk
melemahkan tradisi keintelektualan Islam apabila belenggu kegelapan yang
melanda Eropah sejak doktrin gereja "memenjarakan kreativiti manusia"
kerana tradisi agama dan keilmuan Islam telah muncul sebagai faktor
kekuatan dan ketamadunan.
Ketekunan para orientalis melihat kepada kedalaman ilmu-ilmu Islam
itu melahirkan keinginan untuk memintasnya dengan membina semula
asas-asas berdasarkan prinsip logik yang terpisah dan berasingan dengan
konsep keimanan. Bagaimanapun, tidak semua percubaan itu menemui
kejayaan sehinggalah tradisi ilmiah Barat menemukan semula kehebatannya
sehingga menyebabkan lebih ramai umat Islam menuju ke Barat untuk
belajar manakala tradisi pendidikan Islam masih tidak berubah. Hasil
penjajahan yang lama, ramai masyarakat Islam mula menilai bahawa ilmu
pengetahuan yang berkembang di Barat itulah yang boleh memenuhi tuntutan
moden kerana ia adalah lebih praktikal dan bersifat teknikal.
Pada 1970-an dan 1980-an, hasil tradisi rasionalisme ilmiah Barat,
ramai tokoh agama mula mencari bentuk universalisme pelbagai agama
berdasarkan nilai-nilai baik yang boleh dikongsikan bersama. Awal
1990-an, nilai-nilai kesejagatan antara agama itu tidak banyak
diperkatakan sehinggalah muncul kebimbangan baharu pada 1995 menerusi
teori "pertembungan peradaban", yakni Islam dituduh sebagai ancaman
utama kepada kapitalisme-liberal.
Serangan pemikiran itu kemudiannya disusuli dengan tindakan yang
lebih keras menerusi "perang istilah" sehingga menampakkan apa yang
terkandung dalam prinsip Islam sebagai sesuatu yang perlu dilenyapkan
kerana ia mengundang kepada konflik, pergaduhan dan sengketa. Dunia
tidak akan aman selagi Islam tidak dimusnahkan.
Untuk memusnahkan keyakinan umat Islam, serangan hendaklah
diperhebatkan menerusi pertembungan falsafah dan asas pemikiran.
Pengalaman ketika menjajah negara-negara Islam secara fizikal dijadikan
petunjuk bahawa keyakinan umat Islam tidak mudah terjejas oleh kerana
keyakinan keimanan mereka adalah kental. Atas kesedaran itu mereka mula
menggunakan ketajaman berfikir untuk mengubah asas falsafah agama
sehingga menyakinkan sebahagian besar generasi intelektual muslim yang
terdedah dengan asas pengetahuan Barat. Gerakan itu semakin hari semakin
berjaya apabila ramai intelektual muslim mula tergugat asas falsafah
agamanya sehingga tanpa disedari memperkembangkan liberalisme dan
pluralisme agama.
Beberapa tahun lalu, aliran pemikiran liberalisme dan pluralisme
agama tidak begitu berkembang di Malaysia berbanding Indonesia. Hari
ini, dalam perkembangan teknologi yang serba canggih dan dunia tanpa
sempadan menyebabkan Malaysia semakin kehilangan ketahanan pemikiran dan
asas falsafah Islam sehingga segelintir pemimpin Islam mula berkecamuk
dengan paradok.
Atas pemahaman mereka yang semakin silap mengenai konsep kemajmukan,
menyebabkan mereka melihat semua agama mempunyai nilai sama, yakni
mengajak manusia melakukan kebaikan dan hidup secara aman. Perbezaannya
adalah dari segi amalan, tetapi destinasinya adalah sama dan mula
menggunakan pemahaman yang cetek terhadap beberapa ayat al-Quran tanpa
mengikut konteksnya bagi mewajarkan pendirian tersebut. Misalnya,
pendirian "tiada paksaan dalam beragama" disama ertikan sebagai setiap
orang tidak diwajibkan bersembahyang lima kali sehari kerana sembahyang
itu hak individu. Ini adalah bercanggah dengan keyakinan awal umat Islam
bahawa "sembahyang itu adalah tiang agama." Makna, sesebuah rumah akan
runtuh apabila tiangnya runtuh. Seseorang itu akan terkeluar dari
agamanya jika tidak bersembahyang.
Setiap orang Islam perlu memahami bahawa pluralisme dan liberalisme
agama yang sedang berkembang di Malaysia bukan sahaja merupakan agenda
Barat dalam siri penjahahan bentuk baharu bahkan ia merupakan strategi
untuk menghancurkan Islam menerusi rasionalisme ilmiah berdasarkan
kaedah serangan pemikiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan