KUALA TERENGGANU 4 Okt. - Cadangan pakatan
pembangkang mengadakan satu himpunan besar-besaran pada 3 November ini
adalah semata-mata untuk mengalihkan pandangan rakyat berhubung Bajet
2013 yang dikatakan terbaik dan memberi manfaat kepada rakyat
keseluruhannya.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan
mereka bagaikan 'cacing kepanasan' dan terpaksa mencari suatu ikhtiar
agar rakyat dapat melupakan kebaikan yang dibawa oleh kerajaan.
"Pembentangan Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak bulan lalu cukup menggembirakan rakyat, oleh sebab itu, pakatan
pembangkang cuba mengalihkan pandangan dengan memainkan sekali lagi isu
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menutup kelemahan mereka," katanya
di sini hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu bahawa
pakatan pembangkang akan mengadakan perhimpunan pada 3 November untuk
menuntut pilihan raya bersih.
Keputusan tersebut dibuat kerana lapan tuntutan Gabungan Pilihan Raya
Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tidak diendahkan oleh kerajaan.
Menurut Mohd. Puad, pembangkang terpaksa menganjurkan Bersih 3.0
sebagai usaha terdesak terakhir bagi mereka memenangi pilihan raya umum.
Namun beliau percaya, pendekatan sedemikian yang mewujudkan suasana
tidak tenteram tidak dapat menarik sokongan rakyat, malah mendedahkan
segala kelemahan dan kepincangan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan