Pages

7 Oktober 2012

Bas mewah: Wanita UMNO beri MB Selangor tempoh seminggu buat penjelasan

KUALA LUMPUR 4 Okt. - Wanita UMNO mendesak Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi penjelasan segera tentang status sebenar isu bas mewah yang masih menjadi tanda tanya rakyat negara ini.
Sambil memberi tempoh seminggu, Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu perlu dijelaskan berikutan perbezaan kenyataan dikeluarkan Abdul Khalid sebelum ini.
Katanya, kenyataan Abdul Khalid semakin menimbulkan pelbagai persoalan apabila sebuah portal berita mendedahkan butir-butir terperinci mengenai bas berkenaan yang didaftarkan pada 3 September lalu atas nama Menteri Besar itu.
“Pada 30 Ogos, Abdul Khalid mengatakan secara jelas bas berkenaan telah disewa untuk tempoh enam bulan dan dibiayai sepenuhnya oleh beliau.
“Kenyataan mengenainya mula berbeza dan mengelirukan rakyat apabila pada 27 September pula, beliau menafikan hubung kait isu itu dengan pembelian 50 unit lori sampah dari China dan bertegas bas mewah itu dimiliki melalui konsep sewa beli selama enam bulan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Hamidah mendakwa, kenyataan yang dibuat dan pendedahan butir-butir oleh portal berita itu secara jelas membuktikan Abdul Khalid melakukan pembohongan dan sengaja mengelirukan rakyat.
“Perkara ini jelas menimbulkan prasangka apabila lori-lori dibeli kerajaan negeri Selangor dikeluarkan oleh pengeluar yang sama dengan bas mewah kempen jelajah Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Persoalannya kini, adakah bas tersebut dibeli dan harganya diserap ke dalam harga lori sampah atau dibeli dengan harga murah sebagai balasan membeli lori dari pengeluar sama atau pun dimiliki secara percuma tanda penghargaan membeli lori sampah ketinggalan zaman untuk syarikat penjual menghabiskan stok," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan