KUALA LUMPUR 4 Okt. - Tindakan menyenarai
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan
Ismail dan Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar dalam Kabinet bayangan
yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan amalan kroni,
nepotisme serta mengutamakan ahli keluarga dipraktikkan dalam pakatan
pembangkang.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar)
berkata, perkara tersebut jelas apabila anak-beranak itu memegang
jawatan menteri dalam Kabinet bayangan yang sama, sedangkan kerajaan
Barisan Nasional (BN) tidak mengamalkan dasar serupa.
Katanya, Anwar sering menuduh UMNO dan BN mengamalkan kronisme tetapi
pendedahan Kabinet bayangan itu menunjukkan 'muka sebenar' pemimpin
pakatan pembangkang tersebut yang sebenarnya mempraktikkan amalan
berkenaan.
"Sebab itu, Anwar sebelum ini tidak mahu mendedahkan Kabinet bayangan
walaupun didesak pelbagai pihak. Kita sudah tahu sebabnya, beliau
selalu tuduh UMNO dan BN amalkan kronisme, nepotisme tetapi beliau dari
awal lagi telah meletakkan nama isteri serta anak sebagai calon menteri.
"Kalau UMNO buat begitu, pasti akan diserang bertubi-tubi oleh
mereka, usahkan jawatan menteri, nak berniaga pun tidak boleh. Bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memerintah 21 tahun, beliau
turun baru anaknya bertanding dalam pilihan raya," katanya ketika
ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Beliau mengulas senarai Kabinet bayangan pakatan pembangkang yang didedahkan oleh pengendali blog papagomo.com yang didakwa diperoleh daripada sumber dalaman PKR.
Berdasarkan senarai tersebut, Anwar akan menjadi Perdana Menteri, Wan
Azizah sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri manakala Nurul Izzah
pula menjawat jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan
Bandar.
Jawatan penting lain seperti Menteri Pertahanan dipegang oleh Naib
Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Menteri Dalam Negeri pula diberikan
kepada Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali manakala Menteri Kewangan satu
dan dua masing-masing dijawat oleh Ketua Biro Publisiti DAP, Tony Pua
serta Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli.
Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beliau tidak pasti
sejauh mana kebenaran senarai tersebut tetapi percaya maklumat tersebut
diperoleh hasil percakapan kumpulan kanan dalam pakatan pembangkang
yang telah bocor.
"Apabila saya lihat senarai ini, hati kecil saya berbisik 'Ya Allah, janganlah jadi'," jelasnya.
Mengulas mengenai Azmin yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri,
Ibrahim memberitahu bahawa jawatan itu tidak sesuai dengan Ahli Parlimen
Gombak itu kerana individu yang dilantik memegangnya perlulah orang
yang menghormati undang-undang.
"Selain itu, saya hairan bagaimana Rafizi boleh dilantik sebagai
Menteri Kewangan kedua dalam Kabinet bayangan ini kerana beliau tidak
layak. Sejauh mana kehebatan beliau? Baru dua tahun terlibat dengan
politik, bertanding pun tidak pernah, jadi Ahli Parlimen pun tidak,
setakat dedahkan mengenai isu projek Fidlot Nasional, itu bukan
kelayakannya.
"Mereka juga silap meletakkan Tian Chua sebagai Menteri Pertanian dan
Industri Asas Tani kerana beliau wajar dilantik menjadi Menteri Luar
dalam Kabinet bayangan pembangkang kerana memudahkannya berhubung dengan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar untuk menyalurkan
dana," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan